Tuesday, April 2, 2013

SPR Selangor Akui Ada Pelanggaran Undang-Undang Daftar Pengundi, “Tidak Bolah Ambil Tindakan”


charles SPR selangor 01

SHAH ALAM  : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor mengakui terdapat pelanggaran undang-undang oleh agen Umno-BN dalam pendaftaran rakyat Malaysia sebagai pengundi tanpa persetujuan mereka.

Bagaimanapun tambah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, SPR Selangor berkata tiada apa-apa yang boleh dilakukan walaupun mereka sedar sebuah kesalahan telah dilakukan.

Charles mendakwa kesalahan itu diakui Pengarah SPR Selangor, Dzulkifli Abdul Rahman dalam satu pertemuan dengannya selama 45 minit di pejabat SPR Selangor hari ini.

Ujar Charles, bahawa seorang penolong pendaftar Umno, Hishammudin Kassim telah mendaftarkan ramai pengundi yang meragukan apabila memasukkan nama warga Malaysia yang menetap di luar negara yang tidak pernah berdaftar sebagai pengundi.

“Saya ada bertanya kepada Dzulkifli ada berapa yang telah didaftarkan oleh penolong pendaftar (Hishammudin) yang telah dipecah-pecahkan, dan dia berkata adalah ‘banyak’ dan beratus-ratus.

“Selepas itu saya bertanya lagi berapa yang didaftarkan oleh Hishammuddin, dan dia berkata ‘banyak’. Tetapi dia faham sesuatu kesalahan telahpun berlaku ada pelanggaran undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun menurut Charles, Dzulkifli berkata SPR tidak boleh mengeluarkan nama dari daftar pemilih  kerana Seksyen 9(a) Akta Pilihan Raya 1958, melarang nama dibuang dari daftar pemilih yang telah diwartakan.

“Mereka berselindung di sebalik Seksyen 9(a),” kata Charles yang mendakwa mereka mengakui undang-undang dilanggar tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

Sebelum ini, Charles mendedahkan kes pendaftaran Dinesh Siva Kumar, 32, yang menetap di United Kingdom lebih 10 tahun tidak pernah mendaftar diri sebagai pengundi atau mewakilkan seseorang untuk tujuan berkenaan.

Charles mendedahkan perkara demikian dalam sidang media selepas pertemuan itu di Pejabat SPR Selangor di Kompleks PKNS di sini bersama bapa Dinesh, K Siva Kumar, 64, dan peguamnya, Mishant Thiruchelvam.

Bagaimanapun, Dzulkili tidak hadir di sidang media itu.

“Untuk menjadi pengundi seseorang itu perlu menandatangani borang pendaftaran SPR dan mempunyai salinan kad pengenalan.

“Kita meminta pihak SPR Selangor untuk menunjukkan bukti berkenaan tetapi SPR Selangor menyatakan tidak mempunyai maklumat berkenaan dan meminta untuk merujuk kepada SPR Putrajaya,” kata Charles.

Ujar Charles, beliau akan membawa hal berkenaan kepada pihak SPR di Putrajaya dalam masa terdekat bersama nama-nama yang dikhuatiri didaftar tanpa persetujuan.

Katanya, beliau juga mempunyai senarai lima nama rakyat Malaysia lain yang didaftarkan sebagai pengundi tanpa persetujuan.

“Apa yang jelas kekotoran telah berlaku dalam senarai pendaftaran pengundi pilihanraya dan pihak SPR mengetahui perkara berkenaan.

“Tetapi SPR tidak dapat membersihkan nama-nama tersebut kerana mereka mendakwa apabila nama sudah digazetkan maka tidak boleh dikeluarkan daripada senarai.

“Kita perlu bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang paling kotor dalam sejarah,” katanya.

Tambah Charles beliau mendesak agar pihak SPR Selangor untuk membuat laporan Polis segera ekoran kes ini namun beliau kecewa apabila dinyatakan bahawa pihak SPR Selangor tidak dapat berbuat demikian.

No comments: