SINAR HARIAN
PUTRAJAYA - Polis menahan tiga mahasiswa berusia 20-an di depan
kediaman rasmi Perdana Menteri di sini semalam selepas didapati sengaja
menimbulkan masalah dan mengganggu ketenteraman awam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintenden Mak Pak Chuai
berkata, mahasiswa berkenaan, yang mengetuai kira-kira 100 pelajar lain,
cuba menghantar memorandum berhubung isu pendidikan kepada Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Mereka semua datang kira-kira jam 6 petang, kononnya untuk menghantar
memorandum kepada Perdana Menteri mengenai isu pendidikan. Kita beri
peluang mahasiswa terbabit berucap selama 10 minit tanpa menggunakan
mikrofon, tetapi mereka berdegil dan tetap meneruskan ucapan menggunakan
mikrofon.
"Suasana itu mengganggu ketenteraman awam menyebabkan kita terpaksa
mengambil tindakan menahan tiga mahasiswa berkenaan kira-kira sejam
kemudian bagi tujuan soal siasat," katanya sambil menambah kumpulan
pelajar itu bersurai pada kira-kira 7.30 malam selepas diarah polis.
Beliau berkata, kumpulan itu juga melaung pelbagai tuntutan, termasuk
penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
dan pendidikan percuma di depan kediaman rasmi Perdana Menteri.
Kesal dengan kejadian itu, Mak berkata ia tidak seharusnya berlaku
terutama pada cuti hujung minggu kerana semua memorandum boleh dihantar
terus ke Pejabat Perdana Menteri pada hari bekerja. - Bernama
No comments:
Post a Comment