Tuesday, April 2, 2013

Pakatan: PM perlu bubar Parlimen minggu ini

NORAFIZA JAAFAR
Pakatan: PM perlu bubar Parlimen minggu ini
Salahuddin (kiri) bersama Adun Batu Caves, Amiruddin Shari turut merasmikan Wi-Fi percuma di bawah program Selangorku di peringkat Batu Caves.
 
BATU CAVES - Dijangka Parlimen sekali lagi bakal menjadi perhatian terakhir Jumaat ini menunggu pengumuman pembubaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, sekiranya tiada pengumuman maka negara mempunyai masalah atau sesuatu masalah tidak terduga bakal berlaku.

Menurutnya, beliau mengaitkan perkara itu dengan insiden Lahad Datu apabila isu tersebut masih menjadi persoalan rakyat selepas maklumat yang diperoleh tidak tepat dan berlaku percanggahan kenyataan daripada banyak pihak.

“Kita tidak mahu menuduh atau menyalahkan mana-mana pihak tetapi membantu menyalurkan pandangan berkenaan isu keselamatan kerana mahukan negara kekal aman.

“Sekiranya BN tidak mampu untuk menyelamatkan, mempertahankan dan berwibawa dalam isu keselamatan negara, PR bersedia ambil alih tugas di Putrajaya,” katanya dalam majlis minum petang mengumpul dana Pilihan Raya Umum ke-13 di sini, kelmarin.

Katanya, kajian PR dan isu semasa dibangkitkan menunjukkan beberapa negeri mampu dikekalkan, ditawan dan bakal dirampas.

“Selangor, Kelantan, Pulau Pinang akan dikekalkan, Terengganu dan Perak akan ditawan disusuli Negeri Sembilan berdasarkan rekod pilihan raya lalu yang kekalahan hanya dipisahkan beberapa kerusi.

“Ramai orang bertanyakan perkembangan negeri Johor, saya tidak akan mengubah keputusan untuk bertanding di negeri itu ditambah pula pengumuman bahawa Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan bertanding kerusi di Gelang Patah dijangka akan merancakkan lagi politik di sana,” katanya.

Salahuddin menambah, meskipun misi menawan sukar namun dijangka PR akan menyumbang 12 kerusi Parlimen di Johor.

No comments: