Oleh: Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR : Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari
berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut mengumumkan jika
mahu parlimen terbubar sendiri, 28 April ini sebelum mengadakan pilihan
raya umum (PRU).
Beliau mengulas cadangan beberapa pihak agar pembubaran Parlimen dan
Dewan Undangan Negeri ditetapkan secara automatik selepas genap lima
tahun.
Menganggap ia cadangan yang baik, Aziz berkata penetapan itu boleh
mengelakkan teka teki seperti sekarang yang disifatkan membuang masa.
“Memang elok kalau ditetapkan begitu. Jadi tak timbul suspen yang
membuang masa ini. Masalahnya selama ini Umno fikir bubar dewan itu hak
mutlak mereka.
“Lucunya mereka tak tahu, kalau parlimen tidak dibubar, ia akan terbubar sendiri bila sudah ranum,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, sebagai pemimpin bertanggungjawab, Najib
seharusnya memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan timbul pelbagai
spekulasi yang akhirnya menyulitkan ekonomi negara.
“Sebaiknya dia (Najib) kena beritahu kepada rakyat jika mahu memilih
dewan terbubar secara automatik. Jika tidak ia akan menimbulkan
kesulitan dari segi ekonomi dan pelabur.
“Dia kena berani bercakap kerana ini adalah masalah negara dan
pentadbiran,” ujar bekas Pensyarah Undang-undang Universiti Islam
Antarabangsa (UIAM) ini.
Aziz merujuk langkah diambil perdana menteri Australia, yang memohon
pembubaran parlimen Ogos ini bagi membolehkan pilihan raya di negara itu
diadakan September depan.
“Ertinya jika tidak ada masalah, kerajaan (boleh) membuat pengumuman yang dewan akan terbubar bila ia genap lima tahun.
“(Pengumuman) Ini boleh dibuat sekitar 4 tahun atau bila sudah masuk
tahun ke lima,” tambah beliau sambil menyarankan Pakatan memulakan
langkah berkenaan.
No comments:
Post a Comment