Tuesday, April 2, 2013

Mahathir boleh bertanding di Geylang Patah, kad pengenalannya pun sah

ASPAN ALIAS


Dr Mahathir sepatutnya kembali bertanding dalam pilihanraya ini kerana beliau sudah mengambil keputusan untuk terus bergiat dalam politik. Daripada bercakap terlalu lantang dan terus-terusan dalam politik hari ini elok Mahathir minta satu kerusi dengan terus terang daripada menginding-nginding tidak berhenti-henti.

Tindakan Mahathir meminta rakyat Johor untuk menghabiskan karier politik Lim Kit Siang itu merupakan satu tindakan yang tidak senonoh oleh seorang pemimpin setaraf beliau. Seruan Mahathir itu terlalu ‘personal’ dan tidak beretika.  Mahahir terlalu marah kerana LKS telah memilih untuk meninggalkan kawasan yang selamat untuk pergi bersaing di kawasan yang dianggap sebagai kubu Barisan Nasional.

Jika benar Geylang Patah, dan Johor masih menjadi kubu UMNO tidak sepatutnya Mahathir menunjukkan sangat perasaan ‘panic’ beliau secara itu. Meminta rakyat Johor menanamkan politik LKS enam kaki di bawah tanah itu merupakan manifestasi kebencian beliau terhadap pembangkang dan itu juga tidak sepatutnya berada dalam sanubari seorang pemimpin besar yang pernah memimpin negara selama lebih dari dua dekad.

Sekarang LKS telah meminta Dr Mahathir turun bertanding di Geylang Patah dengan beliau (LKS). Cabaran LKS itu adalah satu cabaran dari seorang pemimpin sejati. Dr Mahathir sepatutnya menerima cabaran itu dari meminta pihak lain untuk menamatkan karier politik LKS. Lagi pun Dr Mahathir masih memilih untuk menjadi ahli politik maka untuk turun ke bawah dan memberikan bukti yang beliau masih lagi seorang yang mempunyai ‘consequence’ dalam politik negara.

Kita tidak tahu kenapa Mahathir terlalu panik akhir-akhir ini. Beliau seolah-olah tidak lena tidur  dan kembalinya LKS ke negeri kelahirannya membuatkan Mahathir mundar-mandir untuk bercakap politik lagi. Lagak beliau seperti ‘ayam berak kapur’ sahaja sejak kebelakangan ini. Mahathir semakin hari semakin meyakinkan rakyat yang beliau terlalu banyak perkara yang hendak beliau tutupi.

Sesungguhnya saya tidak pernah menyangka seorang yang begitu gah dengan kejayaan kepimpinan telah menjadi seorang yang menikus dan takut terhadap semua bayang yang beliau nampak. Beliau tidak dapat berihat lagi untuk mempertahankan BN yang kian hari kian merudum sokongan itu. Beliau yang sepatutnya berihat dan menghabiskan sisa-sisa hidup beliau seperti pesara-pesara PM yang sebelum beliau itu.

Rakyat tidak boleh lagi bertindak hanya untuk melindungi individu seperti Mahathir. Rakyat perlu bertindak untuk melindungi pihak yang ramai, iaitu rakyat. Mahathir sepatutnya sedar segala punca yang membuatkan negara berada di tahap sekarang ini adalah kerana perbuatan beliau juga. UMNO menjadi lemah kerana Mahathir tidak membina barisan kepimpinan semasa beliau berkuasa tetapi beliau hanya menunggukan penyokong-penyokong yang lemah untuk di jadikan orang penting dalam kerajaan. Akhirnya UMNO ketandusan kepimpinan dan inilah yang kita semua hadapi sekarang ini.

Oleh itu, jika kubu kuat BN di Johor itu roboh kali ini, itu bukannya kehendak sesiapa tetapi hakikatnya itu adalah kehendak Mahathir sendiri. Mahathir hanya mahukan pimpinan lemah untuk menguasai UMNO dan kerajaan persekutuan dan negeri termasuk negeri Johor kerana dengan cara itu sahajalah beliau boleh dilindungi dari banyak isu yang melibatkan beliau. Mahathir mahukan semua orang menyokong beliau bagi melindungi segala kesalahan dan noda beliau semasa menjadi pemerintah dahulu.

Sifat angkuh beliau itu masih belum dapat beliau buang dari dalam dirinya dan beliau mahukan semua orang tidak perlu berfikir sebaliknya hanya menerima pemikiran beliau sahaja. Tetapi beliau tidak sedar arus penentangan rakyat terhadap pemikiran beliau sendiri begitu besar dan Mahathir tidak akan dapat dihambat lagi. Hakikatnya walaupun semua orang cuba untuk mempertahankan beliau, Mahathir tidak akan dapat mempertahankan status beliau sebagai seorang negarawan.

UMNO sesungguhnya sudah sampai masa untuk di rehatkan. Lakukanlah apa-apa tindakan untuk memperbaiki keadaan keputusan pilihanraya adalah ‘predictable’. Sesungguhnya UMNO terlalu sukar untuk memperbaiki diri mereka dan tidak mengejutkan yang UMNO akan kecundang kali ini termasuk di Johor.

UMNO semakin hari semakin lemah. Jangan dinafi-nafikan lagi. Sementara itu kita tunggu berita samada Mahathir akan turun ke Geylang Patah untuk bertanding, kerana beliau layak bertanding di sana.
Beliau pun mempunyai kad pengenalan yang sah, bukannya kad pengenalan dari projek IC Sabah dulu. Beliau boleh bertanding di Geylang Patah untuk menerima cabaran LKS itu.

No comments: