“Saya yakin tiada pihak akan kata ‘Tidak’ ... lagipun beliau lebih berkuasa dengan berselindung ‘dibalik tabir’ apabila sama sibuk semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun lalu dengan kenyataan-kenyataan hariannya kepada pemimpin Umno dan BN,” kata Kit Siang ketika berucap di Taman Molek, Johor Jaya, di sini.
Jelas Ketua Parlimen DAP itu lagi, dengan bertanding di Gelang Patah juga, kedua-dua seteru politik itu bakal membuktikan “siapa yang akan terkubur” apabila mempertaruhkan nasib mereka kepada pengundi di kawasan yang menjadi milik BN sejak sekian lama.
Menurut Kit Siang lagi, beliau berani meninggalkan kerusi Ipoh Timor yang ditandinginya dan memiliki kedudukan selesa berbanding untung nasib yang belum diketahui di Gelang Patah, serta mempersoalkan keberanian Dr Mahathir untuk melakukan tindakan sama dengan bertanding menentangnya di kerusi yang kini menjadi milik Tan Ah Heng, yang merupakan Ketua Wanita MCA Johor.
“Saya menjemput Dr Mahathir untuk bertanding di Gelang Patah dan biarkan pengundi menentukan hayat politik siapa akan berakhir, sama ada kuburkan saya atau beliau.
“Saya bersedia menyerahkan nasib kepada penduduk Gelang Patah yang memiliki 53 peratus pengundi Cina, 33 peratus Melayu, dan 12 peratus pengundi India,” tegasnya.
Gelang Patah menjadi perhatian apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kit Siang akan bertanding di kawasan berkenaan, sekaligus menamatkan konflik perebutan kerusi berkenaan antara Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Chua Jui Meng.
“Adakah Dr Mahathir sedia menyerahkan hayat politiknya kepada pengundi Gelang Patah,?” soal Kit Siang dalam ucapannya.
Gelang Patah yang dimenangi parti komponen BN daripada MCA menunjukkan majoriti besar apabila menewaskan calon PKR dalam Pilihan Raya 2008, 9,000 undi.
“Meninggalkan Ipoh Timor yang saya menangi dengan majoriti 21,000 undi pada PRU 2008 untuk Gelang Patah, saya diibaratkan ‘menggantung diri’.
“Berdasarkan sejarah Gelang Patah yang sering memihak kepada BN, Dr Mahathir seharusnya akan menang selesa dengan majoriti besar,” kata Kit Siang.
“Saya tunggu Mahathir di Gelang Patah.”
Dr Mahathir malam tadi menyeru rakyat Johor untuk menamatkan karier politik Kit Siang di Gelang Patah dalam Pilihan Raya 2013 dalam rangka untuk membantu BN mempertahankan kubu kuat mereka daripada kemaraan pembangkang.
“Sekarang ni Lim Kit Siang nak datang ke Johor, mudahlah, boleh menang bila-bila jam. Orang Johor mesti ganyang dia habis-habis ... biar itu jadi hari terakhir dia dalam bidang politik,” kata Dr Mahathir dihadapan ribuan orang di projek perumahan rakyat anjuran Umno Pulai di luar Hospital Pulai di sini.
Kedatangan beliau di sini selepas ceramah Pekatan Rakyat (PR) hampir setiap malam dan yakin akan menang beberapa kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri kelahiran Umno itu.
Bekas presiden Umno dan pengerusi BN itu mengkhususkan kepada Kit Siang, musuh politiknya semenjak beliau masih perdana menteri bermula 1982, sehingga bersara pada 2003.
“Kalau dia nak bertanding di Penang, Melaka kita faham, tapi nak serang kubu Umno di Johor ini perbuatan bodoh, tak masuk akal,” Dr Mahathir memperlekehkan Lim, pemimpin veteran DAP yang merupakan anak kelahiran Johor.
Beliau mengatakan pemimpin DAP itu seharusnya memikirkan persaraannya oleh kerana sudah lama berada dalam politik dan partinya sering bercakap soal perubahan.
No comments:
Post a Comment