Monday, April 1, 2013

Defisit: Ahmad Husni cuba sembunyi kegagalan BN

Rafizi Ramli,


Tuduhan oleh Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Manifesto Rakyat akan melonjakkan defisit ke paras 11.5% dan hutang kerajaan ke paras 62.1% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak berasas dan membelakangkan fakta ekonomi mengenai prestasi pengurusan ekonomi di bawah Umno/Barisan Nasional.

Selain itu, beliau juga menambah bahawa Manifesto Rakyat akan menyebabkan kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar gaji, berbanding pendekatan hutang Umno/Barisan Nasional yang kononnya hanya berhutang untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.

Ketiga-tiga dakwaan ini dibuat tanpa membentangkan sebarang data atau perkiraan, berbeza dengan disiplin Pakatan Rakyat yang senantiasa mempertahankan rancangan ekonominya menggunakan fakta dan data yang jelas. Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah masih lagi berada dalam kepompong politik lama yang beranggapan rakyat akan menerima bulat-bulat sebarang angka yang disebut oleh seorang menteri, walaupun ia tidak masuk akal.

Mutakhir ini, rakyat menuntut mana-mana parti politik yang membentangkan dasarnya turut menyertakan analisa yang lengkap sebagai bukti. Ini telah dibuat secara terperinci oleh Pakatan Rakyat – sejurus selepas Manifesto Rakyat dibentangkan, analisa lengkap kos setiap program dan bagaimana membiayainya telah dibentangkan kepada rakyat agar ia boleh dikaji dan dikritik.

Sehingga kini Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah masih belum mampu menampilkan satu analisa yang menunjukkan bahawa kira-kira kewangan yang dibuat Pakatan Rakyat di dalam Manifesto Rakyat tidak tepat. Saya percaya Umno/Barisan Nasional bukan sahaja tidak mampu menghasilkan analisa kewangan yang lengkap, mereka juga cuba menyembunyikan kegagalan pengurusan ekonomi di bawah pentadbiran mereka.

Ketiga-tiga tuduhan yang dibuat oleh Datuk Seri Husni Hanadzlah – mengenai defisit, jumlah hutang negara dan pergantungan kepada hutang untuk menampung operasi kerajaan – sebenarnya berpunca dari kegagalan pengurusan ekonomi Umno/Barisan Nasional sendiri, seperti yang dihuraikan di dalam bidasan-bidasan berikut:

DEFISIT NEGARA

§ Masalah defisit negara yang berpanjangan sejak tahun 1998 ini sebenarnya dimulakan dan diwariskan oleh pengurusan ekonomi Umno/Barisan Nasional.

§ Walaupun hasil negara bertambah mendadak terutamanya dengan kenaikan harga minyak mentah sejak tahun 2008, Umno/Barisan Nasional tidak menggunakan peluang itu untuk memotong defisit. Sebaliknya pertambahan pendapatan itu dijadikan alasan untuk berboros sehinggakan defisit kekal tinggi walaupun hasil negara meningkat:

Tahun
Hasil Negara (RM Juta)
% Kenaikan Tahunan
2000
61,864
5.4%
2001
79,567
28.6%
2002
83,515
5.0%
2003
92,607
10.9%
2004
99,396
7.3%
2005
106,305
7.0%
2006
123,547
16.2%
2007
139,885
13.2%
2008
159,794
14.2%
2009
158,639
-0.7%
2010
159,653
0.6%
2011
185,419
16.1%

Jadual 1: Hasil Negara (mengikut data Perbendaharaan)

§ Secara purata, kadar pertumbuhan hasil negara adalah 16% di antara tahun 2000 hingga 2011 terutamanya kerana hasil minyak mentah yang naik mendadak. Sekiranya Umno/Barisan Nasional menguruskan kewangan negara dengan menghalang ketirisan dan rasuah, masalah defisit negara sudah lama dapat diselesaikan kerana Malaysia mempunyai pertumbuhan hasil negara yang tinggi pada kadar 16% setahun.

JUMLAH HUTANG NEGARA AKIBAT MANIFESTO RAKYAT

§ Hutang negara melonjak naik kerana perbelanjaan Umno/Barisan Nasional yang tidak terkawal walaupun hasil negara meningkat. Akibatnya, saban tahun Umno/Barisan Nasional terus terpaksa menambah hutang, sehinggakan hutang negara sudah mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada 54.6% dari KDNK (iaitu hanya 0.4% dari had hutang yang dibenarkan).

§ Perbelanjaan tidak terkawal ini dapat dibuktikan dengan rekod buruk Umno/Barisan Nasional yang berbelanja melebihi belanjawan yang diluluskan setiap tahun seperti berikut:
Tahun
Belanjawan Diluluskan (RM Bilion)
Perbelanjaan Akhir (RM Bilion)
Belanja Melampaui Kelulusan (RM Bilion)
2008
176.9
195.0
18.1
2009
206.0
207.9
1.9
2010
191.5
203.0
11.5
2011
212.0
228.0
16.0




Jumlah
47.5

Jadual 2: Perbelanjaan melampaui kelulusan belanjawan oleh Umno/Barisan Nasional

§ Jika perbelanjaan melebihi kelulusan belanjawan Umno/Barisan Nasional bagi tahun 2008 hingga 2011 dijumlahkan, angka RM47.5 bilion perbelanjaan tanpa perancangan mengatasi jumlah RM45.75 bilion yang diperlukan oleh Pakatan Rakyat untuk membiayai Manifesto Rakyat.

§ Dicampur pula dengan pembaziran, ketirisan dan rasuah yang berlaku setiap tahun, sasaran penjimatan untuk mendapatkan jumlah RM45.75 bilion setiap tahun tanpa perlu menambah hutang sudah tentu dapat dicapai.

§ Pakatan Rakyat hanya perlu menghentikan amalan berbelanja tanpa kelulusan, menghentikan ketirisan dan memacu ekonomi supaya hasil negara meningkat untuk mencapai sasaran itu.

PERGANTUNGAN KEPADA HUTANG UNTUK MENAMPUNG KOS OPERASI

§ Kenyataan Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah bahawa Umno/Barisan Nasional tidak berhutang untuk membayar kos operasi kerajaan adalah tidak tepat. Ini hanya dapat dilakukan kerana Umno/Barisan Nasional menggunakan dana PETRONAS secara tidak terkawal.

§ Tanpa dana PETRONAS, Umno/Barisan Nasional terpaksa berhutang untuk menampung kos operasi bermula dari tahun 2005 seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut:

Tahun
Hasil Negara
Dividen PETRONAS
Hasil Tanpa Dividen PETRONAS
Perbelanjaan Mengurus
2000
61,864
4,100
57,764
56,547
2001
79,567
5,910
73,657
63,757
2002
83,515
5,390
78,125
68,699
2003
92,607
5,100
87,507
75,224
2004
99,396
9,100
90,296
91,298
2005
106,305
11,000
95,305
97,744
2006
123,547
18,000
105,547
107,694
2007
139,885
24,000
115,885
123,084
2008
159,794
30,000
129,794
153,499
2009
158,639
30,000
128,639
157,067
2010
159,653
30,000
129,653
151,633
2011
185,419
30,000
155,419
182,594

Jadual 3: Perbandingan Hasil & Perbelanjaan Mengurus (Sumber: Perbendaharaan)

Ketiga-tiga bidasan awal dengan jelas menunjukkan bahawa pengurusan ekonomi di bawah Umno/Barisan Nasional mewariskan hutang dan defisit yang tinggi kepada rakyat. Bukanlah tempat Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah untuk menuding jari kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya beliau harus menjelaskan rekod pengurusan ekonomi yang buruk ini kepada rakyat.

Penulis ialah Pengarah Strategi PKR.

No comments: