Harakahdaily, |
KUALA LUMPUR: Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Malaysia, tidak seharusnya menjadi sekadar slogan yang dilaung-laungkan, kata Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib (gambar).
Justeru, beliau berkata Umno BN sebenarnya tidak pernah serius memperjuangkan Islam, sekalipun untuk meletakkannya pada kedudukan agama rasmi Malaysia.
Menurutnya, sikap berdiam diri para pemimpin Umno BN terhadap kenyataan biadab Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebenarnya telah dijangka, bahkan mereka sendiri terbukti senada dan selaras dengan ucapan Presiden MCA.
“Umno BN sebenarnya bukan sahaja gagal mendidik parti komponen Barisan Nasional untuk menghormati Islam sebagai agama rasmi, bahkan mereka adalah sebab dan alasan sebenar di sebalik penghinaan dan penolakan masyarakat Malaysia terhadap Islam dan syariatnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Buktinya, kata beliau Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri secara terang-terangan menolak pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia.
Walaupun begitu, ujarnya kenyataan Dr Chua Soi Lek sebenarnya terlalu biadab, melampau dan sama sekali tidak menghormati sensitiviti umat Islam di Malaysia.
Kenyataannya, tegas beliau benar-benar telah mengguris hati rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Justeru, katanya jika masih ada umat Islam yang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap kenyataan biadab Chua Soi Lek, barangkali mereka sendiri belum benar-benar menerima Islam sebagai cara hidup dan pegangan dalam kehidupan.
Tambah beliau, tindakan menghina Islam oleh MCA juga menampakkan bahawa Umno semakin lemah, khususnya dalam membela nasib umat Islam dan bangsa Melayu.
Beliau berkata, Umno juga dilihat terdesak mahu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu sehingga sanggup menggadaikan prinsip dengan membiarkan agama sendiri dihina.
“Islam bukanlah ajaran rekaan para Nabi dan Rasul, apalagi rekaan tuan-tuan guru mahupun Ahli Feqah sebaliknya Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah kepada para Nabi dan Rasul, disampaikan dan dikembangkan oleh para sahabat, sehinggalah ke hari ini,” jelasnya.
Muhammad Ismi menambah, generasi terdahulu telah bersusah payah menyampaikan Islam, sehingga ianya benar-benar tulen dan tidak diselewengkan.
“Menentang Islam, bermakna menentang Allah. Menghina Islam, bermakna menghina Allah,” ujarnya.
Ini, ujarnya adalah perkara asas yang perlu difahami oleh pemimpin Umno BN yang mengaku dirinya beragama Islam, dan mahu memperjuangkan Islam di Malaysia.
“Sebagai umat Islam, wajib kita membela agama daripada dihina ataupun diselewengkan daripada kefahaman yang sebenar.
“Semoga Allah memberikan taufiq, hidayah dan inayahNya untuk terus berjuang membela dan menyampaikan Islam dengan kefahaman yang murni, indah dan sejahtera,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment