SHAH ALAM - Pas memberi jaminan tidak akan sama sekali
akan menjadi pemimpin-pemimpin bergelaran Ayatollah Iran jika diberi
mandat memerintah Kerajaan Pusat kelak kerana parti komponen Pakatan
Rakyat (PR) itu sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada semua pihak
tanpa mengira fahaman politik.
Sambil menghargai pandangan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pemimpin-pemimpin Pas yang dihubungi Sinar Harian Online berkata
parti berusia lebih enam dekad itu tidak pernah mengamalkan pendekatan
tutup pintu kepada pandangan dan teguran mana-mana pihak.
Ayatollah adalah gelaran tertinggi diberikan kepada ulama Syiah Iran.
Mengulas teguran Asri itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar
berkata, sekiranya diberi mandat memerintah Putrajaya kelak, mereka
tidak akan sekali-kali menjadi seperti pimpinan Ayatollah.
Katanya, sedia ditegur dan dikritik akan terus menjadi asas perjuangan parti itu.
“Saya rasa Dr Asri sekadar membuat peringatan yang jujur dan ikhlas,
tiada niat lain dan saya hargai peringatan yang diberi itu.
“Jika dilihat sekarang ini pun, media arus perdana hari ini kerap
memutar belit fakta yang kami beri, tetapi kami tidak pernah melenting,
malah memberi reaksi yang baik dan sentiasa positif,” kata beliau.
Kelmarin, Asri, yang dari semasa ke semasa menganalisis perjalanan
politik negara, menggesa Pas agar tidak mengamalkan pendekatan politik
negara Teluk itu jika berjaya mandat memerintah Putrajaya kelak.
Bagaimanapun beliau tidak memberi contoh khusus yang berkemungkinan Pas akan menjadi sebagai kepimpinan Ayatollah.
Beliau berkata, kalau ada yang bermentaliti bahawa orang agama yang
berkuasa tidak boleh ditegur, negara akan menjadi lebih korup dari
sekarang.
“Saya rasa ini satu masalah dalam Pas, masalah sekarang ini, Pas belum
menjadi pemerintah, tetapi kalau kita tidak bahas hari ini, kita akan
jadi seperti Iran, yang mana pemimpinnya Ayatollah tidak boleh ditegur
dan disentuh,” katanya.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tidak perlu melihat
terlalu jauh atau melihat corak pemerintahan Pas di masa hadapan, corak
pemerintahan Pas sekarang ini pun tidak pernah mengambil sikap ‘tutup
pintu’ jika dikritik mana-mana pihak.
“Kami pun sedia maklum, bukan semua pemimpin Pas mahir dan arif dalam semua perkara, justeru teguran juga penting,” katanya.
Beliau juga menambah, jika teguran yang dibuat itu merupakan sesuatu
yang baik, mereka sedia menerima walaupun berbeza faham politik.
Seorang lagi Naib Presidennya, Salahuddin Ayub turut sepakat dengan
Mahfuz menyatakan parti itu sentiasa terbuka untuk menerima sebarang
kritikan daripada mana-mana pihak.
“Berdasarkan pengalaman saya dalam Pas, mana-mana ahli bebas memberi
pandangan dan teguran masing-masing kerana kami sentiasa berpaksikan
semangat demokrasi.
“Jika dalam mesyuarat perwakilan atau mesyuarat bulanan, semua ahli
bebas memberi kritikan kepada pemimpin, tiada masalah,” katanya.
Beliau juga menambah yang rata-rata keputusan yang dibuat oleh parti itu juga adalah berdasarkan teguran.
“Cara ini kami telah amalkan sejak lama dulu dan setakat ini, kami
sentiasa terbuka dan saya rasa tidak mungkin kami akat bersikap seperti
Ayatollah jika memerintah Putrajaya kelak,” tegas beliau tetapi pada
masa yang sama menghargai teguran Asri semalam terhadap Pas.
Katanya, ia satu peringatan positif.
No comments:
Post a Comment