Wednesday, October 24, 2012

Anak Taib belanja lebih setengah juta dalam enam bulan, kata bekas isteri

TERKINI

KUALA LUMPUR ― Anak kepada Ketua Menteri (KM) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah membelanjakan lebih setengah juta ringgit dalam hanya tempoh enam bulan bermula awal tahun ini, kata bekas isterinya Shahnaz Abdul Majid di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, bekas suami kepada Shahnaz, membelanjakan sejumlah RM782,520.55 bermula Januari hingga Jun lalu menggunakan satu kad kredit sahaja, American Express Platinum dengan berbelanja ke seluruh dunia termasuk negara-negara Eropah.

Dalam perbicaraan hari ini, turut ditunjukkan dokumen perbelanjaan kad kredit tersebut yang dikeluarkan oleh Malayan Banking Berhad (Maybank).

Antara lokasi yang dinyatakan adalah perbelanjaan di Sepanyol, UK, and Jerman.

Shahnaz sedang menuntut RM100 juta untuk Mutaah, berikutan perceraian mereka, dan RM300 juta tuntutan bagi harta sepencarian.

Pasangan tersebut bercerai Mei lalu dan perbicaraan yang berjalan sejak 2011 ini adalah bagi menuntut sejumlah RM400 juta daripada bekas suaminya itu.

Shahnaz, kakak kepada penyanyi Shiela Majid dalam perbicaraan sebelum ini mendakwa bekas suaminya itu mempunyai 111 akaun bank dari seluruh dunia, termasuk di Kanada, Amerika Syarikat, Caribbean, Perancis, Monaco, Switzerland, Luxembourg, Malaysia, Hong Kong dan Switzerland.

Shahnaz dalam keterangannya hari ini turut menjelaskan Mahmud Abu Bekir mempunyai akaun simpanan dalam CIMB Bank cawangan Kuching bernilai lebih RM5 juta, dan akaun deposit tunai di CIMB Private Banking bernilai RM3 juta.

“(Dia) responden mempunyai akaun simpanan di bank CIMB cawangan Kuching bernilai RMRM5,751,557.53 dan akaun deposit tetap bernilai RM3 juta bagi CIMB Private Banking cawangan sama,” katanya.

Shahnaz dalam perbicaraan sebelum ini berkata jumlah RM400 juta yang dituntutnya itu adalah masuk akal memandangkan mereka telah berkahwin selama lebih 19 tahun dan suaminya memiliki pendapatan bernilai berbilion ringgit.

Dalam permohonan cerai yang difailkannya sebelum ini, Shahnaz, yang mempunyai MBA dalam Kewangan berkata, dia mahu bercerai di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1948 kerana Mahmud Abu Bekir tidak memberinya nafkah batin sejak 2001.

Kakak kepada ratu jazz Malaysia itu turut berkata, bekas suaminya itu juga pernah menumbuk mukanya, kepala, mata, disepak di rusuk dan dicekik, disamping penggunaan kata-kata kesat yang menyebabkan emosinya terganggu.

Perbicaraan hari ini ditangguhkan sehingga 26 November depan, jam 10 pagi.

No comments: