ANTARA POS.COM
KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon Rashidi Ishak dan Vanidah Imran digesa
segera merujuk kepada Jabatan Agama Islam berikutan lafaz cerai yang
diungkapkan Rashidi terhadap Vanidah dalam filem Untuk Tiga Hari.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, lafaz cerai yang
diungkapkan oleh Rashidi sewaktu melakonkan watak Zafrin dalam filem itu
menyebabkan perkahwinan sejak 1 Oktober 2000 antara beliau dan Vanidah
tidak sah di sisi agama.
"Ia umpama menjadikan sesebuah perkahwinan itu sebuah permainan seperti
kahwin muta'ah. Justeru saya menasihatkan kedua-dua mereka merujuk
kepada jabatan agama Islam dengan segera.
"Umat Islam tidak harus mempermainkan hukum hakam agama meskipun dalam
soal lakonan. Jangan menggambarkan seolah-olah pernikahan itu satu
permainan," katanya.
Beliau mengulas dialog yang diungkapkan Rashidi kepada Vanidah dalam
satu babak pada filem arahan Afdlin Shauki itu yang menyebut:
"Kita kahwin untuk tiga hari, Affin akan pegang pada janji Affin, hari
kedua mesti kena bersanding, lepas itu selepas selesai majlis
perkahwinan, hari ketiga kita minta cerai.
Jelas Harussani, Islam tidak mengajar penganutnya untuk mempermainkan
kesucian sesebuah perkahwinan sebaliknya berusaha memastikan perkahwinan
itu berkekalan dan bahagia sepanjang kehidupan mereka.
No comments:
Post a Comment