Pagi ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada menyentuh mengenai PRU13. Jaminan beliau, PRU13 akan diadakan sebelum Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2013.
Gurauan beliau itu disusuli dengan sorakan daripada mereka yang menghadiri persidangan yang berlangsung di Menara PGRM di Cheras di sini.
"PRU13 nanti, yang pasti akan tiba sebelum perhimpunan Gerakan yang akan datang, saya boleh dedahkan ini," katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Semalam, Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan meluluskan beberapa cadangan pindaan perlembagaan parti itu termasuk usul menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan Mac tahun depan, lapan bulan selepas tarikh PRU13.
Dua minggu lalu, Najib yang juga Presiden Umno menasihatkan jemaah haji tidak risau mengenai tarikh pilihan raya, sekali gus membari bayangan PRU13 hanya akan diadakan selepas Disember.
Berdasarkan Bajet 2013 dibentangkan kelmarin, penganalisis melihat PRU13 akan diadakan Mac depan.
Mandat Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April depan dan PRU13 perlu diadakan dalam tempoh dua bulan daripada tarikh pembubaran.
Dalam ucapannya, Najib juga mengulas soal perjuangan Gerakan di Pulau Pinang dan menggesa parti itu merampas negeri tersebut pada PRU-13 akan datang.
Malah beliau yakin parti itu dapat mentadbir Pulau Pinang dengan lebih baik kelak.
Sementara itu, Presiden Gerakan Nasional, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, Pulau Pinang sentiasa menjadi tumpuan utama Gerakan dalam PRU-13 meskipun gagal mendapat satu kerusi pada pilihan raya lalu.
"Pulau Pinang sentiasa menjadi jantung hati. Sekiranya kita benar-benar bersatu hati, rakyat tentu akan beri peluang kepada kita memecahkan angka kosong.
"Gerakan sedang bekerja keras dengan parti komponen untuk memastikan kerajaan dapat dikekalkan dan memenangi semula empat negeri yang dirampas pembangkang," katanya yang menyifatkan PRU-13 sebagai sengit dan kasar.
Naib Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong pula menggesa agar kekalahan di Pulau Pinang tidak akan berulang kembali pada PRU13.
"Gerakan gagal mendapat kerusi di Pulau Pinang dalam pilihan raya lalu, jadi perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku lagi. Kita mesti bersatu untuk menghadapinya," katanya ketika sesi Jawapan persidangan tersebut.
Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow pula berkata musuh parti tersebut adalah Pakatan Rakyat (PR) bukan ahli dalam Gerakan.
"Musuh kita PR di luar sana, bukan ahli Gerakan. Kita sudah masuk masa kecederaan. Paling cepat PRU-13 dalam dua bulan ini dan paling lama April depan, jadi kita perlu kerjasama," katanya.
No comments:
Post a Comment