Tuesday, September 25, 2012

SAMM kutuk Pahang ancam batal bekal air

ANTARA POS.COM


Post Pic

SHAH ALAM: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor mengutuk tindakan Kerajaan Pahang menimbang untuk membatalkan perjanjian pembekalan air mentah kepada kerajaan Selangor jika Pakatan Rakyat yang memimpin negeri itu terus menghalang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).
 
Penyelarasnya Azhar Achil juga menegaskan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob tidak wajar mempertaruhkan nasib rakyat Selangor dalam isu terbabit.
 
Malah, katanya tindakan Adnan itu jelas menunjukkan sikap sebenar sebuah kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional(BN) apabila tergamak ingin membatalkan konsesi perjanjian bekalan air dari Pahang ke Selangor, seterusnya bakal menyebabkan krisis air melanda rakyat negeri Selangor.
 
"Adalah tidak wajar seorang Menteri Besar berfikir untuk menganiaya rakyat yang berlainan negeri semata-mata kerana perbezaan parti yang memerintah," katanya dalam satu kenyataan media.
 
Menurutnya, SAMM Selangor juga merakamkan rasa pelik mengapa perjanjian air antara Selangor dan Pahang perlu disemak semula sedangkan ada perjanjian air lain yang perlu disemak iaitu perjanjian air antara Malaysia dan Singapura.
 
Azhar berkata, perjanjian berat sebelah yang menawarkan harga air 'tidak masuk akal' itu tidak disemak sehingga hari ini.
 
Oleh demikian, SAMM Selangor memohon perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang sepatutnya dikaji semula.
 
"Inilah perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang sepatutnya dikaji, disemak dan dibatal bukan hanya kerana ia berat sebelah tetapi kerana ia suatu penggadaian hasil bumi negara kepada Singapura," ujarnya.
 
"SAMM Selangor dengan ini menyatakan kekesalan terhadap keberanian Menteri Besar Barisan Nasional yang tidak kena pada tempatnya. SAMM Selangor juga mencabar Umno/BN untuk punya keberanian mengugut kerajaan Singapura untuk menutup bekalan air ke Singapura sekiranya perjanjian berat sebelah tersebut tidak disemak semula," tambahnya.
 
Justeru, SAMM Selangor mendesak supaya Menteri Besar Pahang menarik balik ugutan yang dilontar. 
 
Kerajaan Pahang semalam mengumumkan akan menimbang untuk membatalkan perjanjian pembekalan air mentah kepada kerajaan Selangor jika Pakatan Rakyat yang memimpin negeri itu terus menghalang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).  
 
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob juga dilapor sudah mengarahkan pegawai-pegawainya untuk memperinci perjanjian itu, termasuk struktur harga penjualan air yang terbabit.
 
Langat 2 adalah komponen penting dalam perjanjian itu kerana air mentah yang dibekalkan oleh Pahang akan disalurkan ke loji itu untuk pemerosesan. 

No comments: