Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR 24 Julai: Saksi pertama sidang kelima siasatan awam Bersih 3.0 hari ini memberitahu, selain dibelasah, polis turut merampas rantai emas yang dipakainya.
Menurut Leong Siew Meng, 34, kejadian itu berlaku di Jalan Parlimen ketika beliau dikejar sekumpulan polis.
“Polis tarik baju saya, masa itu saya pakai rantai emas,” kata Leong.
“Rantai itu menjadi ketat di leher saya akibat ditarik polis. Kemudian saya terpaksa buka rantai tersebut,” kata beliau.
Leong berkata, seorang daripada polis terbabit serta merta merampas rantai dan memasukkan ke dalam poketnya.
Leong turut menceritakan beliau juga menerima tendangan sangat kuat di bahagian belakang badannya.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Badan Peguam Malaysia dan polis turut hadir sebagai pemerhati.
No comments:
Post a Comment