Salmiyah Harun, |
KUALA LUMPUR: PAS membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memasukkan sejumlah 196 pemilih pos daripada lokaliti KD Sri Gombak dari Setiawangsa sebagai pengundi di Titiwangsa.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohamad Nor Mohamad berkata, sebelum ini lokaliti KD Sri Gombak tidak ada dalam senarai pemilih pos, ia adalah lokaliti baru yang diwujudkan dan pemilih di dalamnya terus dijadikan sebagai pengundi parlimen Titiwangsa.
Beliau difahamkan, jumlah pemilih pos pada suku pertama daftar pemilih SPR 2012 adalah sebanyak 1600 namun ia meningkat menjelang suku kedua tahun ini sebanyak 317 orang.
"Berbeza dengan jumlah pemilih pos pada tahun 2008 yang hanya ada sekitar 450 orang sahaja, ia meningkat naik secara mendadak dan begitu ketara sekali," katanya dalam sidang media di Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa hari ini.
Mohammad melahirkan rasa bimbang ekoran peningkatan pemilih pos yang begitu ketara walaupun pada suku pertama dan tidak mustahil peningkatan akan terus berlaku jika PRU diadakan tahun depan.
Beliau turut mempersoalkan apakah relevan SPR memasukkan sejumlah pengundi pos daripada lokaliti KD Sri Gombak ke parlimen Titiwangsa?
Katanya, sepatutnya SPR berusaha mengurangkan jumlah pengundi pos memandangkan keperluannya tidak ada di situ.
Mohamad tidak menolak ada unsur-unsur konspirasi terancang yang dijalankan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk meningkatkan undi pos yang sememangnya dikenali sebagai 'fixed deposit' untuk BN.
"Ada pihak yang merasa cemas terhadap kebangkitan rakyat sehingga gagal menarik sokongan pengundi biasa, lalu terpaksa menggunakan kaedah pengundi pos bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka," katanya.
Malah katanya, PAS mampu kekal di kerusi Titiwangsa dalam PRU-13 nanti sekiranya tidak berlaku peningkatan undi pos.
Tegasnya yang turut mendesak SPR mengeluarkan sejumlah pengundi pos di Titiwangsa khususny lokaliti baru yang diwujudkan iaitu KD Sri Gombak dan kem Markas Latihan Tentera Darat.
Justeru katanya, nilai demokrasi dan pemulihan sistem pilihan raya negara ini tidak memberi apa-apa makna sekiranya SPR sendiri tidak bertegas dan bersungguh dalam memastikan sistem pilihan raya di negara ini dibersihkan.
"Biarkan pilihan raya di negara ini ditentukan oleh rakyat sebagai pemilih biasa di atas gelanggang yang sama rata, bukan dibantu oleh daftar pemilih yang dipertikaikan banyak pihak," katanya.
Turut bersama dalam sidang media itu, YDP PAS Titiwangsa Abdullah Abdul Wahab, Pengarah Pilihan Raya Titiwangsa Khairul Anuar Abdul Manap dan Ketua Penerangan PAS Titiwangsa Suhaimi Abdul Aziz.
No comments:
Post a Comment