Tuesday, July 31, 2012

Rohingya, ISA dan keterbukaan Mat Sabu



Oleh Ahmad Lutfi Othman


Ramadan melewati fasa 10 hari pertama. Begitu pantas masa berlalu. Bagaimana azam untuk menyempurnakan amalan-amalan wajib, juga melipatgandakan tuntutan sunat, selain bertadarus, tarawikh, sedekah, menaja berbuka puasa, berbuat baik dengan ibu bapa, famili dan umat seluruhnya?

Semoga dapat dimanfaatkan sepenuhnya tempoh keemasan penuh keberkatan. Ya, mungkin ini Ramadan terakhir kita ... Bayangkan, rakan-rakan atau saudara-mara yang bersama kita pada Ramadan tahun lalu, kini sudah pergi buat selamanya.

Sekembalinya saya menjalani latihan fisio dan terapi, selepas hampir seminggu di wad HUKM, mengingatkan betapa tinggi nilai kesihatan dan masa lapang. Ramai pesakit kronik, termasuk strok, merupakan orang muda. Saya perhatikan mereka begitu gigih dan tekun menjalani rawatan pemulihan, meskipun perlu memakan masa lama. Pergantungan kepada Allah begitu tinggi dalam saat-saat sukar seperti itu.

Melalui Harakah, untuk Ramadan berbaki ini, di samping lebih berdisiplin mengikuti pelan rawatan pemulihan yang ditekankan Prof Dr Zamrin Dimon, saya bertekad untuk mempromosi kerja-kerja kebajikan, khususnya membantu keluarga tahanan ISA, fakir miskin, ibu tunggal, dan mereka yang terlantar tidak berupaya.

Alhamdulillah, respons pembaca Harakah, seperti lazimnya, cukup menggalakkan. Ada rakan lama tiba-tiba menghubungi saya, selepas terusik dengan rayuan dana ISA itu, sekali gus menderma.
Rupanya ramai yang tidak menyedari masih ada insan dizalimi dan dikurung tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting, Taiping selepas ISA diisytihar mansuh.

Meneliti penyata akuan Maybank, saya dapati begitu ramai menyumbang, daripada sekecil RM5 sehingga ribuan ringgit. Dalam hati terdetik, kita perlukan gerakan kebajikan yang lebih tersusun, sistematik dan efisyen, serta dapat dipercayai. (Sumbangan kepada keluarga mangsa yang teraniaya dan bekas tahanan ISA itu boleh disalurkan terus kepada akaun Maybank 564070000336 atas nama HARAKAHDAILY DOT COM).

Tidak dilupakan kisah tragis saudara seaqidah yang paling teruk dizalimi, iaitu minoriti Muslim Rohingya di Myanmar. Ramai di antaranya menjadi pelarian sejak sekian lama, dan sebahagiannya berada di sekeliling kita, di Malaysia tercinta ini.

Tidur saya agak terganggu mengenangkan nasib mereka. Saya kira ramai lagi resah mendengar dan menatap berita sedih itu. Rasanya, tidak banyak yang telah kita lakukan untuk membantu mereka, dan ini amat menyedihkan.

Kita seperti begitu tidak berupaya, cukup daif dan sekadar menunggu takdir, apatah lagi dengan sekatan tertentu daripada regim junta Burma, yang memisahkan minoriti Muslim itu daripada masyarakat antarabangsa. Sekurang-kurangnya untuk masa terdekat, sokongan dana kewangan dan bekalan makanan amat diperlukan; dan kita tentu saja boleh meringankan bebanan mereka.

Petang Jumaat lalu, selepas mendapat rawatan alternatif daripada Ustaz Kamal Ashaari, yang juga berpengalaman diserang strok, saya tiba-tiba menyedari, Harakah juga tidak mengambil sikap proaktif dalam menyalurkan bantuan kepada Rohingya.

Dan ini tentu sahaja memalukan diri saya sendiri, yang sekian lama cuba berusaha membantu golongan teraniaya di negara ini, yang nasib mereka lebih beruntung daripada Muslim Rohingya.

Agak gelisah saya mencari idea, terutama dalam keadaan tubuh yang mudah penat. Segera saya teringat sosok personaliti NGO yang tidak pernah kenal lelah, Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid. Difahamkan Presiden Teras itu pun "bukannya sihat sangat", tetapi ia langsung tidak membataskan aktiviti kemasyarakatannya.

Saya mengirim SMS memaklumkan hasrat Harakah untuk lebih berperanan dalam isu Rohingya ini, terutama dari segi menyalurkan bantuan kewangan. Cikgu Azmi mencadangkan tabung khas dibentuk Harakah, tetapi bagi saya, kami sudah banyak menubuhkan dana khas seumpama itu. Lebih baik yang sedia ada di bawah kawalan beliau sendiri.

Cikgu Azmi bersetuju dan minta diiklankan Tabung Mustadhafin Rohingya, atas nama akaun Sekretariat Himpuna Ulama Rantau Asia (SHURA), BIMB 12047010037282. Ia anjuran Majlis Perundingan Prtubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan SHURA. Dia memberi nama-nama untuk dihubungi, Ahmad Tarmizi 0175606131, Salman Siddiqy 0134013342

Insya-Allah, tabung itu akan Harakah uar-uarkan secara lebih meluas bagi menggembleng sokongan berterusan umat Islam Malaysia. Saya menyeru pembaca agar dapat menyumbang, terutama semasa bulan Ramadan ini. Moga-moga ia dapat meringankan sedikit keperitan yang ditanggung generasi demi generasi itu.

Desakan, tekanan dan lobi juga perlu diteruskan, termasuk terhadap kerajaan negara ini, dalam usaha mencari penyelesaian yang tuntas ke atas krisis kemanusiaan yang semakin parah itu. Dunia yang nampak bisu itu mesti digerakkan. Info perlu disalurkan, kempen kesedaran wajar dimulakan secara lebih terancang dan menyeluruh. II.

Dalam perkembangan lain, saya tertarik dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam forum "ISA: Penyeksaan yang sempurna", anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), minggu lalu.
Bukan soal pengalaman penalis, termasuk Mat Sabu dan Hishamuddin Rais, mengenai penyeksaan semasa dikurung tanpa bicara. Kisah dan cerita sedih seumpama itu bukan rahsia lagi.

Saya lebih teruja dengan pendirian Mat Sabu mengenai peranan penting badan bukan kerajaan (NGO), termasuk sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 nanti. Satu pandangan terbuka yang meraikan penyertaan politik lebih menyeluruh daripada masyarakat sivil.

Beliau mahu NGO, seperti GMI, terus bersikap kritikal terhadap pemerintah dan bekerja kuat untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap hak mereka. Mereka harus terus menjadi kumpulan pendesak untuk mengkritik dasar kerajaan, termasuk Pakatan Rakyat, jika ia meneruskan dasar yang zalim dan penyelewengan seperti kerajaan BN.

Tambah Mat Sabu, jika keberanian itu tidak ditonjolkan, beliau bimbang, kerajaan yang mengambil alih, iaitu Pakatan, "akan mencari jalan memperkenalkan undang-undang malah kadang kala lebih teruk daripada kerajaan yang diambil alih" demi mempertahankan kuasa mereka.

"Bila orang dapat kuasa, amat susah kuasa itu digugat. Sebab itu kumpulan memperjuang hak asasi perlu terus hidup dan kuat, walaupun sesiapa sahaja memerintah. Sebab, senang kita cakap apabila dapat kuasa. Bila dapat kuasa, sudah mula kita ugut orang. Aku bongkar ini, aku dakwa (kau) bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi), sedangkan kita nak hapuskan OSA itu.

"Penyakit orang berkuasa, dia (buat apa sahaja) nak kekalkan kuasa... Dalam sejarah pemerintah nak serah kuasa memang susah nak berlaku," katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Sememangnya kuasa perlu dibataskan dan dihadkan. Seseorang individu atau mana-mana kumpulan yang berkuasa mutlak, walaupun awalnya nampak baik dan menguasai kerajaan melalui sokongan orang ramai (demokrasi) dengan menjatuhkan sang diktatotor, ia boleh bertindak zalim dan lupa diri jika kuasanya tidak dihadkan atau diimbangi.

Ungkapan popular yang selalu kita dengar ialah kenyataan Lord Acton, pakar perundangan England, iaitu "power tendes to corrupts and absolute power corrupts absolutly", atau "kuasa itu cenderung disalahgunakan, dan kuasa yang mutlak itu lebih dahsyat penyalahgunaannya."

Justeru, peranan NGO atau kumpulan pendesak atau dalam pengertian lebih menyeluruh, masyarakat sivil, amat perlu disuburkan. Setiap pemerintah tidak perlu gundah-gulana dengan penyertaan politik proaktif oleh kumpulan-kumpulan berkepentingan itu.

Mereka harus didampingi dan bukannya dimusuhi, meskipun suara kumpulan berkenaan begitu lantang, vokal dan mungkin mendedahkan kelemahan dan membongkar kesilapan pemerintah. Pastinya NGO yang bebas daripada kawalan pemerintah ini harus dibiar bertindak sebagai watchdog terhadap dasar-dasar dan program kerajaan.

NGO seumpama itu sebenarnya berperanan untuk menyuburkan demokrasi dan mampu menjaga kepentingan rakyat terbanyak, yang mengatasi atau melangkaui kepentingan politik yang sempit. Untuk mengharapkan fungsi "semak dan imbang" dalam parti pemerintah sendiri, tentulah cukup sukar. Cabaran daripada parti lawan pula sering ditafsirkan sebagai "bermotif politik"dfan mahu merebut kuasa.

Saya kira tafsiran yang diberikan terhadap masyarakat sivil ini agak menarik untuk diteliti: "Masyarakat sivil adalah satu set institusi bukan kerajaan yang punya kekuatan untuk mengimbangi kuasa kerajan, menghalang pemerintah daripada bertindak bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Masyarakat sivil juga bertindak sebagai pengawal keamanan dan penjaga kepentingan umum. Masyarakat sivil juga merupakan sebuah institusi yang mampu menghalang pemerintah daripada mendominasi dan memanipulasi masyarakat terbanyak."

Keterbukaan Mat Sabu itu menandakan satu bentuk politik baru yang cuba diperkenalkan Pakatan Rakyat, yang wajar dialu-alukan. Ramai yang menantikan bagaimana konsep itu dapat dilaksanakan nanti jika rakyat benar-benar mahukan satu kerajaan baru terbentuk selepas PRU13 nanti.

No comments: