Monday, July 30, 2012

Penerjun Malaysia terlepas peluang raih pingat akibat kesilapan awal

THE MALAYSIAN INSIDER

LONDON— Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong gagal menyaingi kehebatan penerjun China, Amerika Syarikat serta Canada untuk menduduki tempat kelapan dalam acara 3m papan anjal berirama wanita di sini hari ini.

Pandelela dan Jun Hoong yang cemerlang untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2012, sekadar mengutip 283.50 mata, 62.70 mata di belakang pemenang pingat emas dari China Wu Minxia-He Zi yang mengumpul 346.20 mata.

Abigail Johnston-Kelci Bryant dari Amerika Syarikat meraih pingat perak selepas mengutip 321.90 mata sementara Emilie Heymans-Jennifer Abel dari Canada memenangi gangsa dengan catatan 316.80 mata.

Jurulatih Malaysia dari China, Yang Zhu Liang berkata pasangan negara itu telah melakukan kesilapan seawal pusingan pertama terjunan menyebabkan mereka gagal menempatkan diri dalam kedudukan terbaik.

“Mereka gagal membuat terjunan seirama menyebabkan percikan air yang besar dan para juri telah memberikan mereka mata rendah,” katanya kepada pemberita selepas acara itu, di sini hari ini.

Pandelela-Jun Hoong hanya mengutip 46.20 mata pada pusingan pertama, 47.46 (pusingan kedua), 54.0 (ketiga), 71.10 (keempat) dan 64.8 pada pusingan kelimadan terakhir.  — Bernama

No comments: