Monday, July 2, 2012

Hudud di Johor: Nik Aziz sokong sepenuh hati

 
Adun Umno kawasan Kemelah Datuk Ayub Rahmat mahu Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia




PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan sokongan penuh cadangan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukum hudud mengatasi Kelantan.

Ini berikutan cadangan Adun Umno kawasan Kemelah Datuk Ayub Rahmat yang mahu Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Berbeza dengan Kelantan, Ayub mahu hukum hudud di Johor itu dilaksanakan secara adil terhadap semua termasuk kepada masyarakat bukan Islam.

Cadangan itu dibangkitkan Ayub semasa mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12 pada 20 Jun lalu.

Nik Aziz bagaimanapun berkata, Ayub tidak perlu mencabar PAS supaya menyokong hudud kerana cadangan hudud itu pastinya disokong penuh.

“Pada saya, saya bersyukur sangat-sangat atas kesedaran ini. Tidak perlu cabar mencabar, saya menyokong sepenuh hati. Kelantan atau Johor dahulu tidak penting.

“Kelantan telah menghadapi halangan untuk laksanakan hudud, jika Johor mendahului Kelantan, silakanlah.

“Insya Allah giliran Kelantan akan tiba juga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MCA bantah

Menghargai keberanian Adun Umno itu, Menteri Besar Kelantan itu berharap agar cadangan hudud di Johor tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan.

“Harapan saya agar cadangan ini tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan. Mari kita bekerjasama memperlihatkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia.

“Tahniah kepada Umno Johor dan saya menunggu untuk melihat langkah seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membantah cadangan itu dengan menyifatkan cadangan Ayub itu sebagai ‘hilang akal’.

Chua dalam laman sosial twitter semalam berkata MCA pasti akan menentang usaha tersebut.

No comments: