Zhu Jingyi, He Chenhong, Mou Zhongyuan, Sun Yihan
Nota penterjemah: Gejala penarafan universiti (university ranking)
semakin menghantui warga akademik institut pengajian tinggi di Malaysia
kebelakangan ini, terutamanya empat buah universiti awam yang
dinobatkan sebagai universiti penyelidikan (RU). Demi mengejar apa yang
dikatakan kecemerlangan akademik, staf akademik disasar menerbitkan
makalah dalam terbitan CIJ (Citation Indexed Journal) ataupun jurnal yang tersenarai dalam ISI Web of Science/Scopus kononnya ia memberi Impact Factor (IF) / Research Perfomance Index
(RPI) yang tinggi tanpa memikirkan gerhana yang lebih besar ke atas
etika penyelidikan serta tujuan hakiki penyelidikan itu sendiri.
Berikut disajikan terjemahan kenyataan terbuka Ketua Majlis Sains Negara, Taiwan, dalam akhbar China Times
pada 25 Jun 2012 berkaitan isu yang sama. Sama-sama kita renungi
apakah tidak pengalaman teman kita di seberang sana bisa dijadikan
iktibar dan peringatan?
Beberapa tahun
kebelakangan, pelbagai anugerah individu dan penilaian ke atas penarafan
universiti di dalam negara rata-rata tidak terlepas daripada beberapa
Indeks Penyelidikan. Indikator-indikator tersebut ada yang secara kasar
ada juga secara terperinci. Indikator secara kasar hanyalah dilakukan
melalui pengkategorian terbitan jurnal. Umpamanya jurnal yang termasuk
dalam senarai SCI (Science Citation Index) tergolong dalam satu
kategori manakala yang tak termasuk dalam senarai SCI digolongkan dalam
kategori lain. Indikator secara rinci pula adalah memperkasakan
kewibawaan sesuatu jurnal SCI dengan memberikan Impact Factor (IF), malah purata nilai Impact Factor tersebut dikira dengan formula tertentu dan kemudian diberikan nama RPI (Research Performance Index).
Pelaksanaan
sistem Indeks Penyelidikan sangat berleluasa dalam lingkungan akademik
di Taiwan. Namun, masih terdapat pelbagai suara bantahan daripada
kalangan akademia sendiri. Ada pendapat menyatakan bahawa universiti
yang benar-benar terulung seperti Harvard University dan Stamford
University, tidak pernah dimaklumi bahawa IF dan RPI digunakan bagi
mengukur keupayaan seseorang pensyarah. Begitupun, ada pandangan
mengatakan pelbagai Indeks Penyelidikan akan menginduksi dan menyasarkan
matlamat kumpulan penyelidik bekerja semata-mata untuk mengejar indeks
dan bukannya kecemerlangan akademik. Selain itu, disebabkan kriteria
penilaian Majlis Sains Negara (National Science Council) lazim
digunapakai oleh universiti-universiti dalam proses pengukuran kenaikan
pangkat maupun penganugerahan, oleh demikian reka bentuk dan
penstrukturan mana-mana indeks dan sistem penilaian harus mengambil kira
pelbagai kesan berlarutan (consequence).
Di sini, kami
ingin mengemukakan beberapa pandangan dan persepsi tentang Indeks
Penyelidikan seperti berikut. Pandangan dan persepsi kami barangkali
tidak semuanya tepat, namun kami percaya ia mempunyai nilai panduan
kepada teman-teman dan komuniti penyelidik:
1. Segala jenis
indeks hanyalah sekadar alat, bukan matlamat akhir. Penyelidikan ilmiah
tidak lain tidak bukan adalah mencari kebenaran, menerobos amalan lazim
mencipta inovasi, bersifat kritikal dalam penyampaian. Kajian
cemerlang seseorang penyelidik sudah tentu kadar citation ke atas hasil
penyelidikannya tinggi, angka RPI meningkat dan IF tinggi. Walaupun
demikian, dalam penyelidikan ilmiah, kecemerlangan akademik seharusnya
adalah sebab manakala indeks yang menyerlah adalah hasil. Kita tidak
boleh sesekali menterbalikkan kedudukan hasil dengan sebab, menjadikan
mengejar Indeks Penyelidikan sebagai matlamat penyelidikan ilmiah.
Malahan mengejar Indeks Penyelidikan secara membuta-tuli, kadang-kala
menyebabkan satu pasukan penyelidikan maupun penyelidik individu
"menghantar makalah atau menyelidik semata-mata untuk meningkatkan
indeks", sehingga dedikasi dan keupayaan diri mengejar kecemerlangan
akademik luntur dan hilang.
2. Apakah sebenarnya fungsi Indeks
Penyelidikan? Indeks memanglah bukan matlamat penyelidikan, tetapi ini
tidak bermakna ia tiada langsung fungsinya. Contohnya, penyelidik muda (junior)
masih tidak dapat memastikan setakat mana keupayaan diri. Pada ketika
inilah penyelidik senior lazimnya akan menggalakkan mereka mengirimkan
makalah kepada jurnal yang ulung. Dengan cara ini, selain dapat
berinteraksi dengan penilai jurnal yang berimpak tinggi, pada masa yang
sama dapatan kajian lebih mudah dikongsi bersama sarjana peringkat
antarabangsa. Justeru, kendatipun Indeks Penyelidikan sendiri bukanlah
matlamat, tetapi ia sebetulnya mengumpulkan banyak informasi berkaitan
kecemerlangan akademik. Janganlah sesekali kita membawa tujuan tertentu
lalu mentafsir, malah menyimpang dalam proses kita menangani informasi
tersebut. Tetapi, tidak perlu kita mengambil sikap "kerana marahkan
nyamuk kelambu dibakar" atau menolak mentah-mentah nilai informasi
tersebut.
3. Di Taiwan, ramai teman akademia yang pernah
mencanangkan Indeks Penyelidikan pada suatu ketika dahulu, menegaskan
indeks tersebut mempunyai fungsi membezakan antara yang palsu dan asli.
Umpamanya, sesetengah penyelidik hanya mampu menerbitkan makalah kurang
bermutu dalam jurnal kelas ketiga, tetapi sering cuba memutarbelit
dengan mendakwa bahawa makalah yang diterbitkan dalam jurnal kelas tiga
itu setara dengan makalah dalam jurnal berimpak tinggi. Berikutan
dengan itu, lingkungan akademia pun meluahkan suara bantahan agar
mewujudkan Indeks Penyelidikan yang objektif bagi melawan dakwaan yang
mengelirukan itu. Menurut apa yang kami fahami, bidang-bidang tertentu
di Taiwan yang memperkenalkan Indeks Penyelidikan sebelum ini semuanya
mempunyai latar belakang melaksanakan amalan Indeks Penyelidikan bagi
menolak langkah pemalsuan tersebut.
4. Kita fahami fungsi Indeks
Penyelidikan dalam menolak gejala pemalsuan yang tersebut di atas,
tetapi perlu ditegaskan ialah: Fungsi sebegini membawa makna
pemeringkatan masa, bila tiba masanya maka perlulah ia diubah. Kami
berpendapat, kebanyakan bidang penyelidikan di Taiwan sudah maju dan
kini memasuki tahap check and balance antara kuantiti dan
kualiti. Dan atas dasar inilah, kecenderungan yang terlalu lunak dengan
pengukuran Indeks Penyelidikan dalam lingkungan akademia perlulah
dibendung sewajarnya.
5. Barangkali teman-teman akademik akan
risau jikalau presentasi indeks penyelidikan tidak diwajibkan, apakah
tidak mungkin panel penilai akan kehilangan kriteria untuk
mempertimbangkan sesuatu permohonan geran? Berkenaan perkara tersebut,
kami menurunkan penerangan tambahan seperti berikut. Pertama, Majlis
Sains Negara tetap akan mengenalpasti penilai yang sesuai dan
berkredibiliti. Bagi penilai yang berkredibiliti, walaupun tidak
dimaklumkan impact factor sesuatu jurnal, mustahil mereka tidak boleh
membezakan antara jurnal yang baik dan kurang baik, begitu juga antara
makalah yang baik dan kurang baik.
Kedua, mulai dari sekarang,
penilaian bagi semua anugerah penting anjuran Majlis Sains Negara, ketua
bahagian akademik akan diminta menyertakan surat iringan (cover letter) kepada panel penilai, menyatakan kriteria penilaian yang diharapkan daripada panel.
Ketiga,
buat masa akan datang, bahagian akademik akan memantapkan fungsi
penilai kedua. Panel diminta membincang dan membahas dengan lebih
mendalam dan terperinci untuk menggantikan kelemahan masa lalu yang
terlalu memudahkan pengukuran tahap ilmiah berpandukan indeks yang
bersifat mekanikal.
Keempat, dalam keadaan yang istimewa dan
jarang-jarang diketemu, andaikata ketua bahagian akademik mendapati
Indeks Penyelidikan bidang tertentu mempunyai nilai rujukan yang sangat
tinggi, mereka dibenarkan menyaran kepada panel penilai. Tetapi ia
adalah penghakiman mereka dan ini bukanlah matlamat dan strategi
tersalah tempat yang berlaku dalam kelaziman lingkungan akademik.
6.
Apa yang dibincangkan di atas lebih cenderung kepada bidang sains,
kejuruteraan, biologi dan sebagainya. Penyelidikan di bidang ilmu
kemanusiaan, sastera dan sains sosial mempunyai ciri-ciri kedaerahan
yang ketara, cara penyampaiannya tidak terhad kepada makalah dalam
jurnal. Aplikasi dan keterbatasan penggunaan Indeks Penyelidikan dalam
bidang ilmu kemanusiaan, sastera dan sains sosial, logik yang
digunapakai juga agak berbeza. Tentulah Majlis Sains Negara menghormati
logika dan sifat-sifat kerencamannya.
Secara keseluruhannya,
pengukuran Indeks Penyelidikan secara kurang anjal, mengakibatkan
bidang-bidang tertentu dalam lingkungan akademik berlaku kelemahan
penyeragaman (unification) dan normalisasi, gejala ini tidak
menguntungkan usaha berinovasi apatah menerobosi amalan lazim. Bermula
dari bulan Julai tahun ini, kami berharap penilaian Majlis Sains Negara
dapat menjangkau kekangan Indeks Penyelidikan, menuju ke suatu tahap
yang benar-benar dapat meningkatkan kecemerlangan akademik. Kenyataan
terbuka ini mencerminkan keyakinan kami, juga membuka harapan untuk kita
memburu kecemerlangan akademik di masa mendatang.
*Zhu Jingyi
adalah Ketua Majlis Sains Negara Taiwan, manakala tiga yang lain adalah
timbalan beliau. Diterjemah oleh Chong Fah Hing, Pensyarah Kanan di
Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti
Putra Malaysia. Beliau juga menulis di ruangan pojok MerdekaReview edisi Bahasa Cina.
No comments:
Post a Comment