KANGAR – Pemilik MyKad bernombor 960412-02-0058, Puan binti Ahmad disahkan sebagai penduduk paling tua di Perlis berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Beliau sebenarnya dilahirkan pada 1896 dan berusia 115 tahun. Bagaimanapun, nombor kad pengenalan yang tercatat pada MyKadnya itu menggambarkan beliau dilahirkan pada 12 April 1996 dan baru berusia 15 tahun!
“Nombor yang tertera pada MyKad warga emas berkenaan adalah berasaskan rekod sebenar JPN,” jelas Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
Md Isa berkata, oleh kerana beliau lahir pada tahun 1896, maka nombor pada MyKadnya juga bermula dengan 96 seperti kesemua pemegang MyKad yang lahir pada 1996.
“Saya mendapatkan penjelasan itu daripada JPN selepas mendapat tahu mengenai Puan yang menghadapi pelbagai masalah ekoran kekeliruan nombor MyKad tersebut, termasuk gagal mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” ujarnya lagi.
Susulan itu juga kata Md Isa, warga emas berkenaan telah disenaraikan sebagai penerima BR1M pada Sabtu ini.
Puan yang menetap di Kuala Sanglang mempunyai empat anak berusia antara 58 dan 70 tahun serta 19 cucu dan 47 cicit. Beliau dilaporkan bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-16 pada 12 April ini ekoran kekeliruan pada MyKad miliknya itu.
No comments:
Post a Comment