Monday, February 20, 2012

Tidak Salah Kaitkan Agama Dengan Politik - Pemuda Pas

Post Pic



SHAH ALAM : Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Dr Raja Ahmad Al-Hiss menyanggah kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan agama sebagai senjata bagi kepentingan peribadi dalam politk.

Menurutnya, secara amnya, tidak kira agama apa sekalipun, politik itu memang saling berkait dengan agama jika ia tidak disalahgunakan.

Namun beliau juga tidak menolak kenyataan Dr Asri jika apa yang dimaksudkan olehnya adalah berhubung cara kepimpinan yang menyalahgunakan agama demi kepentingan politik diri sendiri dan bukan untuk masyarakat serta ummah.

"Pas terutamanya kita sangat jelas, kita menganggap bahawasanya politik itu adalah sebahagian daripada agama jadi kita tak boleh lari bercakap tentang agama kerana politik itu sendiri adalah sebahagian daripada hidup kita. Baik orang Islam, Kristian, Buddha. Cumanya bagaimana kita mengolah politik tersebut, bagaimana kita mengurus politik tersebut."

"Kalau kita tengok sejarah itu sendiri, Nabi Muhammad SAW berpolitik cumanya masalah sekarang orang menyalahgunakan politik itu untuk kegunaan dan kepentingan diri menyalahgunakan agama. Ini yang berlaku dalam negara kita."

Dr Asri, semalam, menyarankan pemimpin-pemimpin politik berhenti daripada menggunakan agama sebagai “senjata politik” kerana ia dilihat merendahkan martabat Islam dan boleh mengelirukan orang ramai.

Gesaan itu dibuat berikutan langkah itu wajar diberi perhatian memandangkan sesetengah pemimpin politik dilihat semakin mengeksploitasikan agama sebagai satu landasan untuk meraih sokongan dan simpati semata-mata demi kepentingan peribadi masing-masing.

Dalam pada itu, bekas naib presiden Pas Datuk Nakhaie Ahmad pula menyifatkan amalan mengaitkan agama dalam berpolitik ini seolah-olah mengikut cara dan pegangan negara Barat.

"Politik sekarang ini (mengikut) cara Barat, tidak wajar kita menggunakan hujah-hujah Islam untuk memperkukuhkan sistem dan kaedah politik Barat ini..Tapi politik kepartian sekarang ni politik barat, kita tidak wajar menggunakan hujah-hujah Islam untuk memperkukuhkan sistem dan cara-cara politik barat itu." katanya kepada Antarapos.com, hari ini

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memberitahu, pemimpin sekarang menggunakan Islam bukan untuk berdakwah tetapi sebaliknya menggunakan ayat al-Quran untuk mendukung politik kotor seperti amalan Barat.

"Takkanlah kita nak guna Islam untuk memperkukuhkan sistem barat? Kalau politik Islam yang terasnya adalah dakwah, dalam dakwah kita kena menggunakan cara-cara yang bijaksana. Nasihat, dialog dengan cara yang baik tapi politik yang berlaku sekarang mengunakan maki hamun, buat tuduhan yang bukan-bukan dan dalam buat tuduhan yang bukan-bukan itu guna ayat al-Quran, hadis. Itu tak kenalah." ujarnya lagi.

No comments: