Saturday, February 18, 2012

Serangan Pakatan Rakyat Sudah Dirasai: Umno Johor Mulai Panas

MSO


Serangan Pakatan Rakyat ke atas Johor tampaknya sudah memberi kesan menakutkan pihak
UBN negeri berkenaan. Tidak sia-sia kalau Anwar Ibrahim, Salahuddin Ayub dan Chua Jui Meng malam siang menggempur Johor demi meruntuhkan kubu Umno di negeri itu.

Ketakutan UBN kini mulai terasa apabila parti itu seakan sudah kehilangan arah dan mencari-cari siapakah untuk dinobat menjadi MB sekiranya Umno masih mengekalkan kekuasan di Johor selepas PRU 13 nanti. Desas desus itu menunujukkan bahawa Abdul Ghani Othman sudah tidak diperlukan lagi di Johor.

Keupayaan bekas pensyarah Universiti Malaysia itu sudah pun diperah untuk menguatkan Umno Johor selepas mengambil alih daripada Udin anak Yassin yang kini terpaksa di bawa ke Pusat kerana beberapa masalah yang berlaku di Johor. Salah satu sebab Udin anak Yassin dipindah dulu ialah kerana beliau dikatakan memperkenalkan dasar membolehkan rakyat Singapura memililki hartanah di Johor. Udin anak Yassin di Johor Baharu terkenal dengan MB yang menjualk tanahair dan pasir ke Johor dan pedagang buluh kasak?

Keadaan yang berlaku dalam Umno Johor kini sebelum ini tidak pernah terjadi di negeri berjiran dengan Temasik itu. Hari ini terdapat sekurang-kurangnya tiga nama disebut-sebut untuk dilantik menjadi MB Johor bagi mengganti Abdul Ghani Othman. Nama-nama itu ialah Menteri Pengajian Tinggi Khalid Nordin, bekas Menteri Hel Ehwal Kepengunaan, Shahrir Abdul Samad. Dan terbaru tersebut pula nama Menteri Dalam Negeri, Hishmuddin Hussein pula cuba diapongkan.

Saya percaya Ahmad Maslan juga mungkin termimpi-mimpi atau pun mengharap namanya juga disenaraikan sebagai nama bakal MB Johor. Malangnyaq setakat ini tidak ada sesiapa membuat penilaian untuk diangkat namanya ke tahap itu.

Apakah maknanya ini semua kalau bukan kerana Umno dalam kebimbangan? Situasi kabur mengenai siapa bakal jadi MB tidak pernah berlaku di Johor. Johor adalah negeri yang dikira tempat kelahiran Umno dan kubu kuat parti berfahaman kebangsaan itu. Malahan setiap kali berlaku pilihan raya dua tiga orang calonnya menang tanpa bertanding menunjukkan tiada sesiapa yang mahu lawan Umno.

Bagaimana pun keagungan Umno itu kini sudah mulai luntur. Sejak tahun 1999 tidak ada lagi calon UBN yang menang tanpa bertanding seperti tahun-tahun sebelumnya. Yang ajaibnya calon Pas yang menang tidak bertanding pada tahun 2004 dan pertama kali dapat menghantarkan wakil ke Dun Johor. Perkembangan ini menunjukkan perubahan besar berlaku di Johor dan Umno sudah sendiri makin pupus dan perlahan-lahan sudah ditolak rakyat. Umno sebagai sebuah mitos dan parti bertaraf bahtera Nabi Nuh sudah mulai hilang.

Nama Khalid Nordin disebut-sebut untuk dilantik menjadi MB sejak 2008 lagi. Dalam pilihan raya lalu Khalid sudah dicadang untuk diletakkan bertanding di salah satu kerusi Dun. Bagaimana pun ia dipindah saat-saat akhir kononnya atas kehendak Sultan Johor. Beberapa jam sebelum penamaan calon bekas presiden Umno ketika itu Abdullah Ahmad Badawi bergegas ke Johor untuk menghadap sultan Johor.

Hasilnya Abdul Gahni dikekalkan. Sudah pasti kalau tidak ada campur tangan istana Abdul Ghani sudah pun pensium dalam politik dan kini sudah jadi besi buruk. Kini menjelang pilihan raya sekali lagi nama Khalid disebut, kononnya dia akan dipindah ke state untuk jadi MB.

Penghantaran Khalid ke Johor tidak pelik dan dirasakan munasabah memandangkan beliau pernah pun diura-urakan untuk menjadi MB Johor. Tetapi apabila tiba-tiba Abdul Ghani menyebut nama Shahrir Samad menyebabkan timbul pertanyaan apa sudah jadi? Kenapa dengan Johor sampai ada dua nama calon jadi MB. Apakah Umno Johor kini sudah berpecah kepada dua puak? Itulah yang ditilik oleh orang luar.

Shahrir sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Bila wartawan bertanya, beliau meminta supaya menanyai Ghani. Bila dibandingkan di antara Shahrir dengan Khalid, awal-awal lagi Shahrir akan terpecat dari persaingan itu faktornya kerana usia. Shahrir sudah tidak pantas lagi kerana usianya melewati bendul untuk menjadi MB Johor. Kalau Shahrir diperlukan untuk beliau menjadi MB beliau boleh dilantik sebelum Udin anak Yassin menjadi MB Johor lagi.

Apakah cadangan Ghani itu kerana Johor didalam keadaan parah sekarang ini? Umno berpecah dan memerlukan seorang tokoh yang dilihat setia dengan parti serta berprinsip untuk memimpin Johor? Shahrir dikenali seorang yang tegas, bersih dan berprinsip. Saya lihat ada keperluan dan faktor itu kenapa Ghani sampai sebut nama Shahrir.

Sebenarnya kegelisahan Umno Johor menghadapi serangan dan keseriusan Pakatan Rakyat menyerang negeri itu tidak dapat diselindungkan lagi. Terutamanya sejak Salahuddin Ayub telah bersungguh untuk menggempur Johor bersama Pakatan Rakyat. Kepulangan Salahuddin ke Johor tidak ubah seperti kepulangan seorang panglima yang kesekian lama bertapa dan berguru nun jauh di Kelantan untuk membela dan menghapus petualang di negerinya.

Kenapa saya kata begitu, sebab kalau Umno tidak gentar dan bimbang dengan kemunculan dan penampilan Naib Presiden Pas itu nescaya Ahli Parlimen Batu Pahat, Puad Zarkasi tidak menyentuh Salahuddin. Apa kata Puad apabila mendapat tahun Pas Kelantan telah bersedia melepaskan Salahuddin pulang ke negerinya selepas berguru politik selama hampir 10 tahun? Puad menyifatkan Pas Kelantan telah menghalau Salahuddin. Halau?

Jelas terjemahan atas kepulangan Salahuddin ke ngeri asal itu mengecutkan perut Puad Zarkasi dan para pemimpin Umno Johor. Mungkin apa yang paling dibimbang Puad takut kalau Salahuddin bertanding dikerusi Batu Pahat?

Selain itu Shahrir Samad juga turut sama menyentuh Salahuddin. Komen Shahrir pengembalian Salahuddin itu sesuatu yang diulu-alukan. Katanya wajar kalau Salahuddin pulang ke Johor untuk membolehkan dia mencurahkan khidmat bakti di negerinya sendiri.

Pernyataan kedua mereka jelas berbeza. Puad cuba memainkan emosi Salahuddin agar marahkan kepada Pas Kelantan. Manakala Shahrir pula seakan sedia untuk melihat sejauh mana keupayaan Salahddudin menunjukkan segala bakat dan ilmu politik yang dipelajarinya selama ini di luar Johor. Di sini jelas Shahrir sebagai veteran lebih matang dan profesional berbanding dengan Puad yang baru memasuki menengah politik.

Sementara itu Ahmad Maslan juga yang selalu memperlekehkan orang dan merasakan dirinya hebat, terpelajar atau profesional menyentuh kepulangan Salahuddin yang digambarkan bakal dilantik menjadi MB Johor sebagai mimpi. Begitulah sikap seseorang ego dan merasakan dirinya lebih daripada orang lain akan memperkecil dan menghina orang lain.

Salahuddin jangan peduli kepada ejekan Mat Maslan itu. Beliau harus menerimanya sebagai cabaran. Perlu diingat segala kejayaan besar itu bermula dari angan-angan dan mimpi. Dari mimpin itulah akhirnya ia menzahirkan kenyataan. Bukankan sebelum kelahiran Muhammad s.a.w Allah memberikan keluarganya mimpi?

Hari ini Salauddin bersama Pakatan Rakyat di Johor saya rasa masih belum bermimpi. Mereka semua sedang menyiapkan malam indah untuk bermimpi. Dan sudah pasti selepas mereka selesa dan mendapat kepercayaan rakyat, mimpi yang bakal menjelam itu ialah menakluki Johor. Maka baik Mat Maslan dan sesiapa di Johor jangan memperkecilkan usaha Salahuddin dan Pakatan Rakyat sebaliknya lihatlah secara positif dan satu cabaran buat Umno Johor.

Apapun yang nyata dan jelas daripada kerja-kerja disiapkan oleh Salahuddin bersama Chua Jui Meng khasnya, benar-benar meresah gelisahkan Umno Johor. Kalau tidak masakan Umno kini telah menjaja tiga nama untuk menjadi MB Johor; Shahrir, Khalid dan Hishamuddin. Bukankah tindakan itu menggembarkan Umno dan BN dalam keadaan gelisah?

No comments: