Saturday, February 18, 2012

Segera gubal Akta Murtad

ARHIZA AHMAD

HIMPUN
KUALA LUMPUR - Himpunan Sejuta Umat (Himpun) akan mempersembahkan resolusi kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bagi menggesa satu akta khusus berkaitan murtad dapat digubal dan dikuatkuasakan segera.

Setiausahanya, Aminuddin Yahaya berkata, ini dapat membendung kegiatan pihak tertentu yang cuba untuk membawa umat Islam di negara ini keluar dari agama Islam.

Menurutnya, kegiatan ini dikesan bergiat aktif sejak kebelakangan ini, malah mereka turut mempunyai laman sosial yang menyokong murtad.

“Laman sosial ini terbuka kepada mereka yang murtad, malah semakin berani menyatakan sokongan kepada umat Islam yang murtad.

“Kegiatan memurtad umat Islam di negara ini dilakukan secara halus, ada di antara mereka ini menjadi orang alim bagi meraih pengaruh. Kebanyakkan sasaran kumpulan tersebut adalah golongan remaja,” katanya.

Aminuddin berkata, resolusi yang mengandung 10 perkara itu, akan dihantar April ini setelah pertabalan Yang di-Pertuan Agong, malah pihaknya mahu pihak kerajaan bertindak lebih tegas dalam hal ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan Himpun, Aminuddin berkata, jelajah kelima akan diadakan di Stadium Tertutup Batu Buruk, Terengganu pada 25 Februari ini.

Katanya, mereka akan memaparkan kelainan di mana tayangan video berhubung pengakuan individu yang telah murtad akan dibuat.

Katanya, individu terbabit akan menceritakan bagaimana beliau dimurtad sebelum kembali semula kepada agama Islam.

“Itu adalah sebahagian daripada bukti yang kami peroleh, malah mereka ini tampil secara sendiri, tiada paksaan daripada mana-mana pihak. Kesederan itu timbul setelah mendengar ceramah dalam siri Himpun yang kita adakan di beberapa negeri sebelum ini.

“Saya juga ingin menolak dakwaan bahawa Himpun didokong oleh parti politik. Kami adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah kegiatan ini juga disertai oleh beberapa badan NGO yang lain,” katanya.

Aminuddin berkata, dijangkakan seramai 5,000 orang akan hadir dalam Himpun di Terengganu

No comments: