Harakahdaily, | |
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh resolusi mengecam pelanggaran hak asasi manusia di Syria dan menggesa agar Presiden Bashar al-Assad meletakkan jawatan yang dikemukakan oleh Mesir kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan disokong oleh 137 negara.
Justeru, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri menggesa umat Islam melakukan Qunut Nazilah dalam solat-solat mereka mendoakan kemenangan bagi pejuang Islam di Syria yang menentang kezaliman.
“Serta berdoa agar Allah Taala menurunkan hukuman selayaknya di dunia terhadap pemerintah yang zalim,” ujarnya.
Mengulas perkembangan terkini yang berlaku di Syria yang menyaksikan penyembelihan rakyat yang tidak berdosa oleh rejim Bashar, beliau berkata, kezaliman itu telah mencapai kemuncaknya sejak 8 bulan lalu yang menyaksikan pembunuhan ribuan rakyat yang tidak bersenjata.
Menurut laporan Al Arabiya.net, serangan tentera Syria yang telah masuk hari ke 13 menggunakan peluru berpandu dan kereta kebal terhadap rakyatnya di bandar Hims telah membunuh 678 orang Islam termasuk kanak- kanak di samping menghancurkan sepenuhnya puluhan bangunan.
Satu laporan menjelaskan sejak kebangkitan di bandar Hims pada bulan Mac 2011 seramai 3,370 penduduk Hims telah dibunuh.
Jumlah yang terbunuh dicampur dengan bandar-bandar lain sehingga kini melebihi 8,380 orang.
No comments:
Post a Comment