Saturday, February 4, 2012

Provokasi kepala babi: Rakyat masih sehati

Ng Eng Kiat


Sementara parti pemerintah sibuk bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang, pelbagai insiden jijik berlaku untuk menguji slogan 1Malaysia yang dilaungkan Najib Razak. Insiden terbaru, kepala babi ditinggalkan di Masjid Hidayat Sentul, dua hari selepas insiden yang sama di perkarangan Masjid Nurul Iman, Rawang (gambar bawah).

Sekali lagi, orang ramai pasti terkilan dengan kejadian provokasi tidak waras sebegini. Tetapi, apakah kita masih lagi perlu terkejut? Tidakkah rakyat berasa jemu dengan cubaan berulangkali untuk memecahkan perpaduan kita?

Sekiranya kejadian "kepala babi" ini terjadi 40 tahun lalu, kemungkinan besar huru-hara telahpun berlaku. Malah, seandainya insiden ini terjadi sebelum 3 Mac 2008 pun, ketika isu-isu agama menjadi punca ketegangan - misalnya isu dialog antara agama (Interfaith Dialogue), perebutan jenazah, dan pertukaran agama yang agak meruncing waktu itu - belum tentu masyarakat Malaysia dapat menanganinya dengan kesabaran yang telah ditunjukkan dalam masa dua hari yang lepas.

Bagaimanapun, masyarakat Malaysia pasca-2008 sudah menunjukkan kematangan yang baru, di mana walaupun tempat beribadat disimbah cat merah, dibakar api, ataupun dihina dengan pelbagai cara jijik seperti menggunakan kepala binatang, rakyat Malaysia secara umumnya tidak menunjukkan reaksi yang melulu, melampau, atau terlalu beremosi.

Sungguhpun begitu, pastinya kita bersedih kerana di sebalik kemajuan masyarakat dan hubungan etnik pada asasnya sejak 13 Mei 1969, masih ada unsur-unsur subversif yang ingin mencetuskan ketegangan etnik. Kejadian terbaru ini bukan kali pertama vandalisme dilakukan ke atas tempat beribadat sama ada masjid, surau, gereja, atau kuil. Malangnya, aksi-aksi sebegini tidak akan berhenti selagi politik negara terus didominasi elemen kaum dan agama. Tidak dinafikan, perkara kaum dan agama sukar dipisahkan daripada wacana kebangsaan. Namun, pada masa politik perkauman yang sedang merosot diancam politik baru yang berasaskan keadilan sosial, saya percaya pergelutan ini akan menghasilkan peluang supaya perubahan boleh berlaku.

Walaupun aman dan damai pada hari biasa, keadaan hubungan etnik di Malaysia sukar diukur kerana sekiranya seseorang membaca akhbar Utusan Malaysia setiap pagi, seolah-olah ada sahaja pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memporak-perandakan hubungan antara kaum. Sekiranya mendengar ugutan-ugutan PERKASA dan pertubuhan-pertubuhan satu kaum (1Kaum?) yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan pasca-8 Mac 2008, seolah-olah wujud ancaman besar terhadap hak-hak Bumiputera. Sekiranya melihat kembali tunjuk perasaan mengheret kepala lembu memprotes tapak sebuah kuil hindu pada tahun 2009 dan insiden-insiden vandalisme tempat beribadat sejak 2010 (termasuk 12 kejadian dalam bulan Januari 2010 sahaja), keadaan hubungan etnik di Malaysia nampaknya tidak boleh dibanggakan langsung.

Namun, adakah perkara-perkara yang disebut di atas membayangkan realiti hubungan etnik di Malaysia? Ataupun adakah ia sebenarnya hanya berunsur acara pseudo untuk mengalih fokus orang ramai dan mempengaruhi pendapat umum? Dalam konteks ini, apakah kempen 1Malaysia Najib bermakna ataupun juga sekadar retorik sahaja?

Amat sukar untuk rakyat biasa menerima 1Malaysia apabila penyokong terbesar propaganda Najib ialah Ibrahim Ali dan kumpulannya PERKASA yang terus gagal untuk menghormati masyarakat minoriti. Untuk membuktikan beliau benar-benar mahukan pembaikan hubungan etnik, Najib harus segera menyeru supaya segala unsur provokasi diberhentikan. Lebih penting lagi, beliau perlu mengajukan seruan ini bukan sahaja secara umum, tetapi spesifik kepada kumpulan-kumpulan yang telah memainkan peranan dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dalam masa beberapa tahun lalu. Tidak ada gunanya bercakap pasal ETP dan GTP apabila gagal memimpin dalam perkara seasas keharmonian hubungan antara kaum.

Tentunya, ada juga mereka yang akan menuduh kemelut hubungan etnik kita sejak tahun 2008 adalah kesan langsung pemerkasaan barisan pembangkang. Walaupun tidak logik, hujah ini akan diulangi lagi pada pilihan raya akan datang. Strategi UMNO di Selangor dan Pulau Pinang jelas menunjukkan tren bahawa mereka sedang merayu undi masyarakat Melayu dengan mencetuskan rasa takut di kalangan mereka. Di Pulau Pinang khususnya, berpuluh-puluh protes sudah diadakan untuk menggambarkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai seorang yang meminggirkan masyarakat Melayu. Di Selangor, isu agama pula digunakan.

Pakatan Rakyat bawa kucar-kacir, DAP mahu hilangkan hak Melayu, PKR mahu menghalalkan seks sejenis, dan PAS tidak lagi mempertahankan Islam. Begitulah seruan yang akan digunakan Barisan Nasional. Kadang-kadang, saya terfikir, susah juga untuk bergelut dengan lawan yang enggan bergusti secara adil. Minta debat pasal skandal lembu, dia sembunyi dan bersorak pasal skandal seks. Minta pulihkan pilihanraya kerajaan tempatan, dia bicara pasal buah dada. Minta berhentikan projek Lynas di Gebeng, dia buat tak tahu. Minta deklarasi aset menteri, dia pula pergi "shopping" di Australia. Minta pilihanraya adil, dia dakwa Ambiga anti-Islam. Sudahlah itu, lepas rakyat kecewa dan minta "Asalkan Bukan UMNO", dia datang menghayun batang kayu.

Begitulah cara UMNO menanggani kontroversi. Tiap kali ada orang persoalkan sesuatu, timbulkan sahaja keadaan kurang tenteram. Ugut sahaja kalau terus persoal akan terjadilah huru-hara dan pertumpahan darah. Namun, dengan adanya media sosial yang secara relatif bebas dari kawalan langsung pemerintah BN, taktik-taktik kotor UMNO mendapat perhatian ramai melalui perbincangan yang lebih terbuka dan bebas.

Di medan Internet, idea baru yang hebat akan cepat mendapat sambutan hangat. Sebaliknya, idea yang basi tidak mampu bersaing dari segi impaknya. UMNO ketahui hakikat ini. Mereka sedar tidak ada wacana logik yang boleh terus menghalalkan niatnya untuk terus berkuasa. Oleh itu, "cybertrooper" dan "blogger" pro-UMNO tidak berdebat dasar dan pendekatan politik. Fokus mereka? Apa lagi kalau bukan skandal seks dan sentimen perkauman?

Rakyat perlu sedar, perpaduan dan kesefahaman kita lebih kuat dari apa-apa skandal dan provokasi yang dimainkan. Mereka yang meletakkan kepala babi di pintu masjid tidak semestinya membenci agama atau orang Islam. Tapi, yang pasti, mereka mahu supaya golongan Islam hilang rasa percaya terhadap perpaduannya dengan orang bukan-Islam. Namun, saya yakin rakyat biasa di Rawang, Sentul dan di seluruh pelosok tanahair akan mengatasi kontroversi ini dengan penuh sabar dan tabah.

Syabas kepada wakil rakyat Rawang dan ahli EXCO negeri Selangor, kedua-duanya bukan-Islam, yang segera melawat Masjid Nurul Iman pada pagi kejadian. Begitu juga wakil rakyat Batu Tian Chua yang hadir untuk mengecam tindakan provokasi tersebut.

Yang penting, mulakan usaha supaya rakyat setempat membina hubungan yang lebih erat untuk hilangkan apa-apa rasa syak wasangka. Sekiranya gerakan rakyat mampu membina muafakat dari bawah, sekiranya fokus tidak lagi mudah dialih tiap kali provokasi dibuat, dan sekiranya kita bersatu, akan satu hari nanti kita bangga sebab kita benar-benar rakyat Malaysia.

*Ng Eng Kiat ialah aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

No comments: