Tuesday, February 21, 2012

PAS Tolak Cadangan SPR Mansuh Perarakan Calon

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya perarakan semasa hari penamaan calon pilihan raya dimansuhkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tiada sebarang alasan yang munasabah diberikan untuk memansuhkan perarakan ini khususnya daripada sudut keselamatan.

"Perarakan calon semasa penamaan calon pilihan raya sudah dilaksanakan sejak sebelum merdeka lagi dan telah menjadi sebahagian dari proses demokrasi berpilihan raya di dalam negara kita ini," katanya dalam satu kenyataan melalui laman sesawang rasmi parti itu.

Pada 1 Februari lepas, SPR mahu menghentikan amalan calon yang bertanding pada pilihan raya membawa kumpulan penyokong dalam jumlah yang besar pada hari penamaan calon.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dipetik sebagai berkata perarakan mengiringi calon ke pusat penamaan calon sepatutnya dimansuhkan bagi memastikan suasana aman pada hari berkenaan.

Menurutnya SPR mencadangkan hanya 10 penyokong dan wakil-wakil calon dibenarkan mengiringi calon pada hari berkenaan.

Abdul Hadi berkata pilihan raya bukan sekadar memangkah calon Anggota Dewan Undangan Negeri atau Anggota Parlimen semata-mata tetapi melibatkan seluruh proses demokrasi dan menunaikan hak rakyat untuk mendapat maklumat secara adil dan saksama. BERNAMA

No comments: