Monday, February 20, 2012

Imigresen Batam serah Helmi kepada polis

Oleh Safeek Affendy Raz

pix_gal0

Suspek edar gambar bogel EXCO tunggu dakwaan


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, Helmi Hazimin Malek, 37, yang dikaitkan dengan penyebaran gambar separuh bogel EXCO wanita kerajaan Selangor dan ditahan Imigresen Indonesia 3 Februari lalu, diserahkan kepada Polis Batam untuk siasatan susulan.

Jurucakap Kedutaan Besar Indonesia di sini, Suayana Sastradiredja, berkata Helmi diserahkan kepada polis Batam selepas siasatan ke atasnya berhubung dakwaan memalsukan dokumen perjalanan diri dan tinggal lebih masa selesai dijalankan pihak imigresen.

“Imigresen Batam menyerahkan Helmi kepada polis, Khamis lalu selepas siasatan terhadapnya selesai dan Helmi akan ditempatkan di bawah tahanan polis sementara menunggu proses pendakwaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, siasatan polis akan menjurus kepada dari mana suspek memperoleh dokumen palsu republik berkenaan dan tiada kemungkinan dia diekstradisi ke Malaysia dalam tempoh terdekat.

“Dia akan diadili di Indonesia kerana kesalahan menggunakan dokumen pengenalan pengenalan diri palsu,” katanya.

Helmi dipercayai memasuki Batam melalui pelabuhan antarabangsa Tanjung Balai, Karimun menggunakan pasport Malaysia pada 15 Februari 2009 sebulan sebelum waran tangkap terhadapnya dikeluarkan polis Malaysia berhubung siasatan penyebaran gambar separuh bogel Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin, berkata polis Malaysia belum menerima maklumat mengenai kesalahan Helmi di sana dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa Indonesia.

“Kita harus menghormati undang-undang Indonesia, segala keputusan dan tindakan yang dibuat di sana (Batam) adalah di bawah kuasa mereka.

“Helmi perlu menjalani hukuman atas kesalahan yang dilakukan sebelum dia dihantar kembali ke negara ini untuk disiasat atas kesalahan di sini,” katanya.

No comments: