Sunday, September 4, 2011

BERNAMA teliti semula SOP liputan luar negara

BERITA HARIAN ONLINE


PETALING JAYA: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) akan meneliti semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) dalam menghantar wartawan untuk tugasan di luar negara, terutamanya di zon kritikal atau dilanda konflik.

Pengurus Besar BERNAMA, Datuk Hasnul Hassan, berkata selain menyediakan wartawan dengan latihan secukupnya, pertubuhan itu akan turut meneliti aspek keselamatan.

"Kami berkemungkinan perlu melihat bagaimana petugas kami dapat dilindungi dengan sebaik-baiknya. Sekiranya SOP perlu diubah, kami akan mengubahnya selepas berbincang dengan jawatankuasa pengurusan," katanya di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini, hari ini.

Beliau antara yang hadir di pangkalan tentera berkenaan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menunggu ketibaan jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 39.

Allahyarham Noramfaizul terkorban di Mogadishu pada Jumaat selepas terkena tembakan ketika dalam perjalanan menaiki sebuah kenderaan bersama petugas media lain dari Malaysia yang membuat liputan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.

Hasnul berkata, BERNAMA tidak akan berhenti daripada menghantar wartawan untuk tugasan di luar negara, sambil menambah pertubuhan berkenaan sering menghantar wartawan berpengalaman ke luar negara.

"Ini adalah dasar kami. Bagaimanapun, jika membabitkan keadaan yang sukar, keputusan dibuat atas dasar sukarela," katanya. - BERNAMA

No comments: