Thursday, September 29, 2011

Terangkan maklumat hudud kepada rakyat

Khaulah Azwar


RAWANG: Selaras dengan agama rasmi negara ini iaitu Islam, sudah sampai masanya maklumat berhubung hukum hudud yang heboh diperkatakan pada masa kini diterangkan secara rasmi kepada rakyat.

Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharum berkata, kerajaan dan agensi berkaitan perlu menghidupkan majlis forum dan program mendidik rakyat berhubung hukum hudud.

"Pendidikan mengenai perkara ini (hudud) penting supaya rakyat faham apa itu hudud dan pelaksanaannya. Namun sekarang, peringkat inipun masih belum beres.

"Rakyat tidak kira Islam atau bukan, masih tidak faham berkenaan hukum hudud. Sebab itu perlu teruskan program pendidikan dan setelah faham barulah perkara ini boleh dilaksanakan," katanya kepada Harakahdaily dalam program bersama penduduk Taman Rahmat Jaya, di sini semalam.

Dalam pada itu, ujarnya amat dikesalkan apabila golongan yang bukan arif berhubung agama Islam memberikan komen berlebihan berhubung isu hudud terutama di media.

Katanya, ini menyebabkan golongan memberikan kenyataan itu boleh menimbulkan kecelaruan pemahaman terhadap hukum yang sudah ditetapkan dalam Islam itu.

"Sepatutnya biar hanya orang alim dan berwibawa untuk bercakap hal hudud ini kerana sudah menjadi kewajipan golongan ini memberikan kefahaman kepada rakyat.

"Namun secara peribadi, pada saya tidak wajar kita sebagai orang Islam menafikan hukum yang telah ditetapkan Tuhan ini dan harus berusaha untuk ke arah itu," katanya.

Menurut Badrul Amin, pelaksanaan hukum hudud di negara ini bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, DAP, PKR dan PAS malam tadi mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama di samping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

"Kita mendengar penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.

"Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.

"Kita jelas menghormati hak dan aspirasi PAS (mahu laksanakan hudud). Cuma dia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat perlembagaan dan Buku Jingga," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta 23 ahli mesyuarat yang lain.

No comments: