Thursday, September 29, 2011

MTUC kekal pendirian, Putrajaya berusaha elak piket


KUALA LUMPUR— Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan pertemuan khas dua jam dengan Kementerian Sumber Manusia pagi tadi tetapi kekal dengan pendiriannya mahu mengadakan piket berhubung pindaan Akta Kerja Isnin ini.

Kementerian Sumber Manusia mahu meneruskan jadual bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010.

Bagaimanapun sama ada pendirian MTUC akan berubah ataupun sebaliknya akan diketahui Sabtu ini selepas forum mengenai rang undang-undang kerja itu di Petaling Jaya.

The Malaysian Insider difahamkan susulan pertemuan dua jam dengan kepimpinan MTUC hari ini, Kementerian Sumber Manusia turut memutuskan untuk menghantar satu pasukan ke forum itu bagi menjelaskan pindaan yang hendak dibawa ke Parlimen pada sesi yang bermula minggu depan.

Forum itu akan dihadiri oleh wakil kesatuan sekerja sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Hasil pertemuan hari ini, kementerian berkata mahu menghantar pasukan mereka untuk memberikan penjelasan mereka kepada peserta forum,” kata Timbalan Presiden MTUC Jaafar Majid kepada The Malaysian Insider hari ini.

Menurut Jaafar, meskipun adanya penjelasan kementerian hari ini, pendirian MTUC untuk mengadakan piket pada Isnin ini masih kekal dan tidak berubah.

“Setakat hari ini, setakat sekarang piket diteruskan, pendirian kami tidak berubah. Bagaimanapun selepas forum Sabtu ini, susulan penjelasan kementerian yang akan menghantar satu pasukan pegawai mereka, exco MTUC akan mengadakan mesyuarat dan membuat keputusan... sama ada meneruskan piket atau sebaliknya,” kata beliau.

Mesyuarat pagi tadi dengan MTUC, yang diwakili seramai 10 pemimpin, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Kelmarin, Kementerian Sumber Manusia mengingatkan MTUC yang bercadang mengadakan tindakan berpiket Isnin ini iaitu hari pertama sesi Parlimen Oktober-Disember — tidak wajar membangkitkan bantahan mereka di “saat pembentangan di Parlimen.”

“Kementerian ingin menegaskan bahawa sebelum pindaan ini dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan, semua cadangan pindaan ini telah melalui proses konsultasi bersama wakil-wakil pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja.

“Sebanyak 18 kali sejak awal tahun 2010. Selain itu, draf cadangan pindaan turut telah dipanjangkan untuk pandangan dan maklum balas daripada wakil majikan dan pekerja. Justeru, pindaan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa kerana telah melalui proses konsultasi yang komprehensif bersama pihak-pihak yang berkepentingan,” kata Kementerian Sumber Manusia.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam berkata, usaha meminda Akta Kerja 1955 tidak harus dipandang serong atau disalah faham kerana ia dilakukan untuk kepentingan bekerja.

Dalam kenyataan kelmarin, Kementerian Sumber Manusia berkata, adalah diharapkan cadangan pindaan ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak demi memelihara kebajikan pekerja dan menjamin keharmonian perhubungan perusahaan.

Kenyataan itu dikeluarkan mengulas laporan The Malaysian Insider awal minggu ini memetik Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata mereka akan berpiket pada hari pertama sidang Parlimen bulan depan jika Putrajaya meneruskan perbahasan rang undang-undang buruh tanpa perbincangan di majlis melibatkan tiga pihak.

Pendirian untuk berpiket diputuskan pada mesyuarat majlis am MTUC Ahad lalu.

“Jika benar kerajaan meneruskan perbahasan mana-mana rang undang-undang buruh, khususnya Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010, MTUC akan mengadakan piket di kawasan Parlimen pada hari pertama persidangan,” kata Halim.

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (PIndaan) 2010 telah ditangguhkan dua kali sebelum ini.

Antara lain Rang Undang-undang Kerja didakwa merugikan kaum pekerja kerana jika diluluskan akan membolehkan sistem kontraktor pekerja, yang pernah digunakan sebelum negara merdeka, diamalkan kembali. MTUC mendakwa ia akan merugikan pekerja dari segi kebajikan mereka dan menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.

Selain peruntukan berkenaan sistem kontraktor sosial, MTUC mahu kerajaan memasukkan cuti bersalin 90 hari dan menaikkan had kerja lebih masa sehingga 130 jam sebulan.

No comments: