ALOR SETAR - Wanita Umno Kedah hari ini mengingatkan Umno bahagian di negeri itu agar menyelesaikan segera kemelut dalaman yang dikatakan berlaku jika tidak mahu dikecewakan lagi pada pilihan raya umum kelak.
Ketuanya Datuk Maznah Abdul Hamid berkata kemelut yang dihebohkan berlaku di beberapa bahagian, boleh menjadi beban kepada Barisan Nasional (BN) Kedah dalam usaha merampas kembali negeri itu.
"Parti lawan khususnya PAS sememangnya suka perebutan dan pergaduhan ini berlaku dalam Umno supaya mudah bagi mereka mempertahankan Kedah. Segala masalah yang menjadi punca hendaklah diselesaikan dari akar umbi," katanya kepada pemberita, di sini.
Maznah juga berkata semua sayap Wanita dari parti komponen BN tidak menghadapi masalah dan telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Malah katanya, Wanita MCA dan MIC Kedah menunjukkan perkembangan memberangsangkan yang memberi petanda pemulihan sokongan kaum hawa terhadap BN.
"Pengundi wanita melebihi 50 peratus dari jumlah pengundi. Pergerakan Wanita BN akan menggunakan sepenuhnya masa yang ada untuk mendekati mereka khususnya pengundi muda yang pertama kali mendaftar sebagai pemilih.
"Kami juga tidak akan meminta kuota kepada Wanita ditambah. Terserah kepada pucuk pimpinan menentukannya," kata Maznah.
Pada pilihan raya umum 2008, Wanita Umno Kedah hanya diperuntukkan satu kerusi iaitu di Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Tiang yang ditandingi dan dimenangi Bendahari Puteri Umno ketika itu Suraya Yaacob.- Bernama
No comments:
Post a Comment