KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Serdang Ungku Salleh Ungku Jamal dilantik sebagai Ketua Pemuda Selangor yang baru berkuat kuasa serta-merta.
Portal Umno-online.com melaporkan kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebagai berkata perubahan berkenaan hanya membabitkan Ketua Pemuda negeri berkenaan manakala barisan pegawai termasuk Naib Ketua Pemuda negeri serta barisan jawatankuasa yang lain masih tidak berubah.
Ungku Salleh menggantikan Suhaimi Mohd Gazali yang memimpin Pemuda Umno Selangor selama hampir dua tahun.
Khairy dilaporkan sebagai berkata pelantikan Ungku Salleh tepat pada waktu dan masanya ketika tumpuan kini lebih kepada persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Saya telah minta supaya Ketua Pemuda negeri adakan mesyuarat secepat mungkin serta merangka strategi yang berterusan untuk memberi lebih penumpuan dan penekanan kepada persiapan pilihan raya umum nanti,” katanya dalam portal itu.
Khairy dalam portal itu juga berkata kemungkinan akan berlaku beberapa perubahan di negeri lain selepas ini mengikut kesesuian masa dan keadaan.
“Permulaan di Selangor, mungkin ada satu atau dua negeri lagi yang saya masih tengah pertimbangkan. Jadi saya harap kepada Ketua Pemuda negeri yang lain, bolehlah anggap bahawa kita sentiasa nilai kepimpinan bukan sahaja dari segi prestasi tetapi juga dari segi kesesuaian.
“Bukan yang diganti itu tidak menunjukkan prestasi yang tidak baik cuma kesesuaian dan juga dari segi penekanan yang kita nak bagi kepada persiapan pilihan raya akan datang.
“Dalam politik kita kadangkala perlu ada sedikit perubahan untuk memberi lebih penekanan kepada pendekatan yang lebih sesuai untuk masa kini dan sekiranya di peringkat atasan dah ada perubahan dari segi pengerusi perhubungan, saya rasa tidak salah kalau kita buat perubahan di peringkat Pemuda,” katanya.
No comments:
Post a Comment