KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa dari PKR petang ini mengemukakan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membahaskan kejadian tiga orang, berusia antara 15 dan 22 tahun, ditembak mati polis di Glenmarie, Shah Alam awal pagi 13 November lalu.
Berdasarkan Perkara 18(1) Peraturan Mesyuarat, beliau berkata Dewan Rakyat wajar membincangkan kematian Mohd Shamil Hafiz Shapiei, 15, Hairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, demi kepentingan awam.
“Hari ini, saya telah menghantar usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat dan kita (Pakatan Rakyat) harap esok kita akan mendapat laluan kerana isu ini sesuatu yang berkepentingan rakyat.
“Kalau kita memerintah (kerajaan puasat) kita tahu apa perlu dibuat, Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) tak boleh menyerahkan begitu sahaja kepada polis, mesti menjawab di Parlimen,” ujar Sivarasa (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Sivarasa yang juga Naib Presiden PKR berkata, insiden terbaru itu sepatutnya sudah mendesak kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan menyelesaikan kes tersebut.
Ini kerana katanya, kes terbaru ini berlaku selepas rakyat Malaysia melihat kematian Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak oleh polis di Jalan Mak Yong, Seksyen 11 Shah Alam awal pagi 26 April lalu.
“Bagi saya, kes ini tidak boleh disiasat oleh pihak polis lagi, sekurang-kurangnya menteri sendiri mesti menjawab di Parlimen.
“Mereka ini ditembak dari jarak dekat, seolah-olah tembak untuk bunuh, bukan untuk mempertahankan diri seperti yang dimaklumkan polis.
“Salah seorang dari mereka ditembak dari satu telinga dan tembus di bawah satu telinga lagi... menunjukkan beliau ditembak dari arah yang lebih tinggi dan dekat.
“Kalau polis (terbabit) mahu mempertahankan diri, dia patut melepaskan tembakan ke udara atau bahagian yang tidak boleh mengakibatkan mati... tetapi kesan tembakan pada juvana menunjukkan mereka ditembak dari jarak dekat,” ujar Sivarasa.
The Malaysian Insider difahamkan, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan membuat ketetapan sama ada untuk menerima usul tergempar Sivarasa atau sebaliknya pada sesi soal jawab lisan pagi esok.
Sabtu lalu, peguam keluarga juvana terbabit N. Surendran mendakwa polis cuba melakukan suatu pembohongan di sebalik insiden tersebut.
Menurut Surendran, keluarga dua mangsa terbabit memberitahunya bahawa terdapat dua kesan tembakan jarak dekat pada kawasan kepala dan dada.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan sebelum pada itu berkata, ketiga-tiga mereka terbunuh selepas melakukan rompakan di stesen minyak Jalan U1/1 sekitar jam 4.15 pagi.
No comments:
Post a Comment