Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata MCA mungkin hendak membuat sesuatu perubahan kerana sebelum ini jawatan itu hanya dipegang oleh orang Pulau Pinang.
"Bagaimanapun, kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan Dr Chua dan berharap beliau boleh menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada pengerusi sebelum ini, sungguhpun beliau tidak berada di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Pemangku Yang DiPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Datuk Farizan Darus di sini hari ini.
Bernama melaporkan bahawa Dr Chua telah dilantik Pengerusi SPPP dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (Teluk Ewa) untuk tempoh setahun berkuat kuasa 15 Nov lepas sehingga 14 Nov tahun depan bagi mengantikan Tan Cheng Liang.
Lim berharap Dr Chua sebagai seorang yang berkaliber dan lebih berkemampuan, akan meluangkan lebih masa di Pulau Pinang untuk menangani masalah yang timbul berkenaan dengan pelabuhan tersebut.
"Kita harus bekerjasama untuk memajukan pelabuhan berkenaan khususnya Jeti Swettenham milik kerajaan negeri.
“Saya percaya Dr Chua akan menggunakan pendekatan lain dan saya berharap dengan kerjasama yang ada, kita dapat memajukan pelabuhan ini bagi merealisasikan potensinya untuk mengembalikan pelabuhan tersebut ke zaman kegemilangannya," katanya.
Terminal Swettenham, dengan dermaga sepanjang 400 meter dan dua dolphin untuk kemudahan kapal berlabuh dibina sejak 2005 dengan kos RM65 juta.
Terminal dengan keluasan 15,000 kaki persegi turut mempunyai bangunan baru tiga tingkat yang menempatkan pejabat Kastam dan Imigresen, kawasan kuarantin dan petak meletak kenderaan bagi 18 buah bas dan 48 teksi.
Sebelum ini, kapal persiaran mewah terpaksa berlabuh jauh dari jeti dan bot terpaksa digunakan untuk mengangkut pelancong ke darat.
No comments:
Post a Comment