"Musuh serang kita bukti kita kuat", demikianlah mesej yang berkali-kali diulangi perwakilan mahupun pimpinan PKR, untuk meyakinkan perwakilan dan rakyat bahawa kekuatan partinya masih menggeruni musuh politiknya, UMNO-BN. PKR yang dihujani serangan media sejak penubuhannya, malah sepanjang pemilihan parti sehingga Kongres Nasional PKR pada hari ini, cuba meyakinkan penyokongnya bahawa perjuangan parti berada pada landasan yang tepat.
Malah, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim diasak bertubi-tubi di ruang media, dengan liputan diberikan kepada mereka yang keluar parti, tidak puas dengan perjalanan pemilihan parti dan sebagainya. Dari "pengkhianat Melayu", hujah "Anwar Anugerah Tuhan" yang mencetus pertikaian, sehinggalah "kekosongan kerusi dalam dewan kongres" dijadikan isu yang menghiasi ruang dada media musuh PKR.
Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan penggulungannya sebelum Kongres Nasional PKR melabuh tirai di Dewan Sivik MBPJ hari ini, menyerang bukan sahaja UMNO, malah rakan sekutu UMNO dalam Barisan Nasional.
Bermula dengan lojik mustahil media musuh menyetujui PKR apabila perjuangan PKR adalah untuk mendedahkan rasuah yang diamalkan oleh UMNO, Anwar Ibrahim berkata pihak musuh akan terus menyerang PKR, malah akan "curi satu dua dari PKR dan menyerang dari dalam" jika serangan gagal.
Anwar Ibrahim berkata PKR tidak mungkin diberi ruang dalam media UMNO-BN, kerana UMNO gagal menjawab apabila isu rasuah dibangkitkan. Beliau berkata, "Bagi 15 minit, mustahil...kerana dia tahu 15 minit itu, kita akan pecahkan 15 jam fitnahnya itu!"
Bukan Melayu menjadi pencacai UMNO
Anwar Ibrahim juga menjelaskan pendirian partinya yang sering dituduh sebagai "pengkhianat Melayu". Semalam, Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, juga isteri Anwar berkata konsep "Ketuanan Melayu wajib ditinggalkan".
"Lebih baik hidup di bawah pimpinan bukan Islam yang adil dan bersih, daripada hidup di bawah pimpinan Islam yang rasuah, zalim dan menindas," tegas Anwar Ibrahim (gambar kiri). Malah, beliau menyasarkan golongan bukan Melayu yang membela dengan UMNO.
"Dan yang anehnya, bukan setakat orang Melayu... (dengan) Ketuanan Melayu, rompakan Melayu, penghinaan orang bukan Melayu, masih ada alat pencacai (UMNO) orang Cina, India, Iban, Kadazan yang mempertahankan rasuah dan kezaliman Melayu terhadap kaum mereka sendiri," Anwar mengulangi kata-katanya dalam bahasa Inggeris dan menyifatkan perbuatan tersebut adalah sesuatu yang memalukan.
Azmin Ali: Lahirkan Melayu bermaruah
Azmin Ali dalam ucapan sulungnya selaku Timbalan Presiden PKR turut menyentuh kegusaran perwakilannya dalam isu kepentingan Melayu.
"Ada suara yang mahu kita terlibat dalam wacana tersebut untuk menangani kegelisahan dan rasa tidak selamat di kalangan Melayu. Sebenarnya mereka yang gelisah dan rasa tidak selamat adalah spesis Melayu Ali-Baba, mereka yang ingin mengaut kekayaan dengan cara rasuah dan tidak telus. Melayu yang memperolehi kekayaan melalui amalan rent-seeking, keuntungan besar dengan resam rasuah dan tidak telus serta tidak mahu adanya persaingan," kata Azmin Ali (gambar kanan).
Beliau yang enggan bersikap apologetik untuk mempertahankan pendirian parti ini berkata, "Bangsa Melayu adalah bangsa yang besar, bangsa yang melahirkan pemikir seperti Hamzah Fansuri, Nurudin al-Raniri, Abdullah Munsyi, Tok Kenali, Syed Sheikh al-Hadi dan lain-lain. UMNO dan PERKASA tidak mengenali tokoh-tokoh besar ini justeru itu mahu memberikan gambaran bahawa orang Melayu lemah dan tidak berkeupayaan. Melayu yang lemah adalah Melayu yang bersarang dalam UMNO. Sebaiknya, kita menganjurkan wacana yang mengungkap persoalan negara bangsa bukan polemik perkauman sempit."
Azmin menegaskan, "KEADILAN bertanggungjawab untuk melahirkan Melayu yang bermaruah dan bukannya Melayu rent-seeking, Melayu Kronisme dan Melayu Nepotiseme. Kita perlu menganjurkan wacana mengungkap persoalan bangsa sebagai 'nation'."
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
No comments:
Post a Comment