Monday, November 29, 2010

Saya tak layak jadi Canselor Unisel, kata Syed Husin


PETALING JAYA — Bekas timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Senator Dr Syed Husin Ali menolak cadangan wakil Srikandi PKR Farah Afzan Faridi supaya beliau dilantik sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel).

Syed Husin (gambar) berkata beliau menolak menerima jawatan itu kerana berpendapat tidak layak untuk mengisi kekosongan itu.

“Saya tolak bulat-bulat cadangan itu, minta maaf.

“Saya rasa ada yang lebih baik selain saya untuk memegang jawatan itu,” katanya ketika berucap di sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di sini.

Farah berkata Syed Husin merupakan calon terbaik untuk jawatan Canselor Unisel dan memohon agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mempertimbangkan cadangan ini.

“Kita pasti Dr Syed Husin boleh menunaikan hasrat pelajar Unisel,” katanya ketika membahaskan usul pendidikan pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan Ketujuh di sini, hari ini.

Pada 20 November lepas, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor Unisel bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program Permata dan kemudian pengunduran itu diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Lupakanlah nak cadangkan saya, sebenarnya saya tidak layak. Saya tidak sesuai langsung, tugas saya adalah pendidik.

“Apa-apa pun saya berterima kasih dengan cadangan itu,” kata bekas pensyarah ini.

No comments: