Monday, September 27, 2010

Sistem Pendidikan Vokasional akan dirombak: Muhyiddin

SABAH DAILY

Sistem Pendidikan Vokasional Negara akan dirombak bagi membolehkan pelajar mengikuti aliran vokasional lebih awal iaitu selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu adalah selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk memastikan 20 peratus pelajar mengikuti aliran vokasional berbanding 10 peratus pada waktu ini.

“Pada dasarnya saya bersetuju ia diawalkan pelajar ini memasuki bidang kemahiran, ini memang dalam penelitian kementerian. Ini kerana mungkin lebih awal maka lebih panjang mereka berada dalam bidang itu dan kemahiran mereka lebih baik,” katanya selepas merasmikan Program Melonjakkan Kecemerlangan Pendidikan Pagoh 2010 Dewan Sri Pekembar, Pagoh dekat sini kelmarin.

Muhyiddin berkata rombakan tersebut dijangka memberi lonjakan besar kepada pendidikan vokasional negara kerana ia mengandungi elemen penambahbaikan seperti skop dan sukatan mata pelajaran, kemudahan infrastuktur, keperluan industri, tenaga pengajar dan penglibatan pihak swasta.

Timbalan Perdana Menteri mengulas laporan akhbar hari ini yang memaparkan cadangan para pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011 yang antara lain meminta kerajaan mengembangkan rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi buruh berkualiti dalam aspek kemahiran.

Muhyiddin berkata, ketika ini bidang vokasional hanya diambil oleh pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan jumlah pelajar aliran vokasional negara masih kecil berbanding negara lain.

Sedangkan, katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun bagi memenuhi keperluan industri negara mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Pada awal tahun depan, rakyat boleh diberitahu mengenai transformasi vokasional ini dengan lebih jelas dan pada masa yang sama kita tidak mahu ibu bapa menganggap bahawa bidang vokasional adalah pilihan kedua, ini perlu diperbetulkan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan negara maju termasuk Perancis mempunyai jumlah pelajar vokasional yang tinggi manakala di Indonesia sebanyak 40 peratus pelajar mereka adalah dalam bidang vokasional.

Sebanyak 60 peratus daripada pelajar di Thailand turut mengikuti aliran kemahiran. -NST

12 comments:

zam said...

harap apa yang dilakukan akan membawa kebaikan kepada pelajar dan sistem pendidikan negara.

Anak Sabah said...

Diharapkan keputusan yang terbaik mengenai cadangan ini akan dibuat.

tombolo said...

sistem pendidikan vokasional perlu ditingkatkan bagi menggalakkan pelajar menceburi bidang kemahiran ini. tenaga mahir memang amat diperlukan oleh negara kita.

Bujang Senang said...

cadangan yang baik untuk menangani masalah kekurangan tenaga mahir di negera kita ini. Dedahkan pelajar lepasan UPSR dengan ilmu kemahiran.

joey said...

ini mungkin dapat meningkatkan lagi kemahiran vokasional yang ada pada masa kini.

Anonymous said...

memang wajar kerajaan mengambil langkah2 melahirkan lebih ramai pelajar yang mahir dalam bidang teknikal dan separa teknikal bagi memenuhi keperluan gunatenaga negara. walau apa jua pembaharuan, diharapkan sistem pendidikan vokasional ini mampu menyediakan pendidikan yang terbaik kepada semua pelajar bagi menghasilkan kecemerlangan kurikulum, kokurikulum dan sahsiah serta membentuk insan berkemahiran yang mampu menghadapi cabaran globalisasi.

Unknown said...

Saya yakin ini merupakan satu tindakan yang bijak.

gambir said...

sistem pendidikan vokasional perlu dirombak mengikut aspirasi pemodenan negara.....dimana silapnya negara kita yang sudah melahirkan terlalu ramai orang-orang vokasional tetapi semuanya masih tak mahir-mahir juga...akhirnya negara tetap bergantung kepada rakyat asing yang tidak pakar tetapi mahir!!!

gambir said...

10% pelajar mengikuti aliran vokasional adalah terlalu rendah...patutlah para pelajar yang ada sekarang tidak kreatif...yang kreatif pula tidak mampu menampung aspirasi keperluan negara yang memerlukan rakyatnya supaya KREATIF dan INOVATIF...apa lagi untuk BERDAYA SAING??? setuju...agar vkasional dirombak!

Paquin said...

Buatlah apa yang patut... Asalkan tindakan tu membawa manfaat, saya sokong ja:)

Paquin said...

Tapi pertimbangan hal ni sebaik mungkin sebelum melaksanakan sebarang keputusan bagi mengelakkas sebarang masalah timbul kelak.

kb girl said...

Sistem yang tidak dapat mengikuti perkembangan semasa, biarlah dibubar.