Thursday, September 30, 2010

Kebebasan Wartawan Dan Corridor Kuasa

Oleh Abd Shukur Harun

Pada suatu pagi di tahun 60-an Presiden Sukarno berkunjung ke White House, Washington D.C. untuk bertemu dengan Presiden J.F. Kennedy. Kedua-dua presiden itu sedang berusaha untuk membaiki hubungan dua negara yang selama ini begitu tegang.

Presiden Sukarno mengadu kepada Kennedy perihal akhbar Amerika yang sentiasa mengkritiknya. Dengan tenang Kennedy menjawab: “Kami sendiripun menghadapi masalah dengan media, malah saya sendiri sebagai presiden tidak terlepas daripada kritikan mereka.”

“Bagaimanapun,” kata Kennedy, “itulah sebahagian dari demokrasi dan kebebasan media yang kami warisi di negara kami.”

Sementara itu, kira-kira 500 tahun lalu, Sultan Melaka menitahkan pegawai istananya supaya memanggil pengarang Sejarah Melayu, Tun Sri Lanang mengadapnya. Ketika pengarang itu mengadap, Sultan dengan tegas memberitahu: “Tun Sri Lanang, tulislah hal-hal yang baik-baik saja mengenai Melaka ini supaya dapat dibaca oleh anak cucu kita dikemudian hari.”

Ini bermakna, 500 tahun lalu sudah ada arahan dari pihak berkuasa mengenai apa yang boleh ditulis dan yang tidak boleh ditulis, yang boleh didedahkan dan yang tidak boleh didedahkan. Di Eropah., bekas Maharaja Perancis, Napoleon Bonarparte, pernah berkata, “I fear the newspapers more then a hundred thousand byonet.”

Di tahun 60-an, ketika negara komunis China pimpinan Pengerusi Mao Tzi Tung berada di tengah Revolusi Kebudayaan, para editor kanan akhbar Harian Rakyat dipanggil setiap petang ‘mengadap’ Perdana Menteri Chou En-Lai untuk menerima arahan darinya – berita yang mana boleh disiarkan atau berita yang mana perlu dibuang, gambar yang mana boleh disiar, begitu sebaliknya.

Pada tahun 1961, editor Utusan Melayu, Said Zahari dan teman-temannya memimpin mogok pekerja Utusan kerana memprotes langkah Umno mengokong akhbar itu, sedangkan Said mahukan akhbar dan wartawan Utusan diberikan kebebasan.

Demikian juga apa yang berlaku kepada wartawan kawakan, Mochtar Lubis, pengarang ‘Indonesia Raya’ yang ditahan di zaman Sukarno kerana mengkritik pemerintah Sukarno. Beliau dibebaskan sebentar di zaman Suharto, namun dipenjarakan lagi di zaman pemerintahan Order Baru Suharto itu kerana mengkritik berleluasanya korupsi di Indonesia. Demikian mahalnya harga perjuangan tersebut yang terpaksa dibayar oleh para tokoh ini.

Inilah di antara peristiwa mengenai kebebasan akhbar dipelbagai negara. Banyak lagi peristiwa seumpama itu berlaku di seluruh dunia – suatu manifestasi bagaimana sikap sesuatu pemerintah mengenai kebebasan akhbar – sejak zaman berzaman. Mereka sentiasa dihantui rasa takut dan curgia akan apa yang disiarkan oleh media. Hal ini berlaku hingga kini, walaupun negara itu mendakwa mengamalkan demokrasi.

Saya memetik sedikit tulisan dalam sebuah laporan (sengaja tidak diterjemahkan untuk benar-benar menepati kehendak rencana itu), yang ber bunyi:

“According to Reporters Without Borders, more than a third of the world's people live in countries where there is no press freedom. Overwhelmingly, these people live in countries where there is no system of democracy or where there are serious deficiencies in the democratic process. Freedom of the press is an extremely problematic problem/concept for most non-democratic systems of government since, in the modern age, strict control of access to information is critical to the existence of most non-democratic governments and their associated control systems and security apparatus.”

Saya memikirkan semuanya ini ketika tercetus isu kebebasan wartawan berhubung dengan kenyataan berani Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari yang menarik perhatian. Hata Wahari baru saja dipilih menggantikan Norila Daud, 17 September lalu. Seperti kata Ketua Editor Harakah, Ahmad Lutfi Othman sendiri dalam reaksinya di Harakahdaily, “Hata telah memulakan langkah awal dengan baik walaupun mungkin bakal menempuh kontroversi berlanjutan.”

Lutfi pernah mwakili Kumpulan Aktivis Media Independen dan bertemu dengan bekas Naib Pengerusi Suhakam, Allahyarham Tan Sri Harun Hashim hampir sepuluh tahun dahulu, bagi membincangkan isu pengharaman majalah Detik dan Wasilah.

Almarhum bertanyakannya, berapa ramai wartawan yang mendokong perjuangan membebaskan media. Soalan ini sukar dijawab oleh Lutfi bagi pihak wartawan lain kecuali sejumlah kecil warga media yang dikenal pasti olehnya, yang bertugas dengan akhbar alternatif.

Lutfi tetap yakin bahawa masih ada sebahagian teman-teman yang bertugas dengan syarikat media yang dikaitkan dengan Umno/BN pun menanggung derita yang sama.

Sangat menarik pula kenyataan pertama Hata itu apabila beliau berkata: "Perjuangan saya ialah untuk melihat akhbar-akhbar di negara ini terlepas dari kongkongan tuan-tuan politik baik daripada BN, Pakatan Rakyat dan para pemimpin politik lain. Akhbar dan media seharusnya dimiliki oleh rakyat kerana dengan itu barulah akhbar itu dapat berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Utusan sebelum ia dikuasai oleh parti politik sebelum tahun 1961." Kepada saya kenyataan Hata ini juga wajar menjadi ingatan bukan saja kepada Umno/BN bahkan kepada Pakatan Rakyat sama ada belum berkuasa atau ditakdirkan berkuasa nanti. Hata benar-benar mahukan suatu suasana di mana wartawan benar-benar dapat menjalankan tugasnya secara professional dalam ertikata yang sebenar.

Oleh itu jika Pakatan Rakyat berusaha untuk berkuasa melalui pilihan raya umum nanti, dia mestilah menyediakan suasana yang demikian. Kemampuan sesebuah kerajaan untuk menyediakan suasana ideal sedemikian rupaya bergantung kepada kemampuan kepimpinan sesebuah kerajaan itu, lebih-lebih lagi menurut sebuah analisis yang pernah saya terbaca dulu bahawa Dunia Ketiga memang sangat sukar melaksanakan demokrasi dan kebebasan akhbar justru kebanyakan pemimpinnya sentiasa ‘dihantui’ rasa bimbang dan tidak selamat mengenai kekuasaan mereka.

Adalah wajar pemimpin Pakatan Rakyat – yang bercita-cita untuk berkuasa menerusi demokrasi – menyediakan diri dengan sikap terbuka dan menerima hakikat demokrasi dan kebebasan media. Janganlah sementara belum berkuasa, Pakatan Rakyat dengan mudah menyuarakan sikap keterbukaan, demokrasi, kebebasan media, ketelusan dan sebagainya, tetapi bagaimana jika ditakdirkan mendapat kuasa nanti.

Justru Kumpulan Aktivis Media Independen pimpinan Lutfi itu sangat wajar meneruskan perjuangannya kerana perjuangan ini berterusan, disebabkan ia sentiasa berdepan dengan corridor kuasa dengan segala karenahnya.

Akhirnya kepada Presiden baru NUJ, Hata Wahari, saya mengucapkan selamat berjuang.

13 comments:

zam said...

kebebasan itu memang perlu namun ada hadnya. selagi wartawan dan media menyiarkan maklumat yang tepat ia adalah baik. namun jika ia mengeluarkan atau menyampaikan maklumat yang tidak tepat maka disitulah perlunya kawalan.

Anak Sabah said...

Tanggungjawab wartawan dan media adalah untuk melaporkan berita yang tepat tanpa tokok tambah.

Antanum said...

Kadang2 apa yang ditulis oleh wartawan tidak semuanya boleh dipercayai..dan kadang2 juga mereka akan menambah2 perisa dalam cerita tertentu untuk menarik lebih perhatian dari rakyat....dan bercakap tentang kebebasan, sememangnya perlu tetapi ada hadnya seperti semua setuju tentang ini...

Anonymous said...

akhbar perlu bebas dalam menyampaikan maklumat, namun, maklumat yang disiarkan perlulah tetap dan tdak menimbulkan isu2 yang boleh membawa kepada kekecohan.

Hosie Masie said...

Media memang seharusnya mendapat kebebasan dalam penyampaian. Tapi yang penting adalah FAKTA yang tepat. Kita tahu media ini dipengaruhi oleh pelbagai aspek, maka ini yang mebuat kerajaan risau kerana akan mempengaruhi pemikiran rakyat.

Hosie Masie said...

Maka sini tidak salah dekiranya sesuatu negara itu menghadkan kebebasan media. Kerana ada faktor-faktor tertentu. Sebagai media erikanlah maklumat yang fakta dan bukan rekaan semata-mata.

Unknown said...

Kebebasan harus ada hadnya. Menyampai sesuatu maklumat yang tidak tepat dan boleh menyebabkan kontroversi akan menimbulkan kekecohan. Oleh itu, sebaik-baiknya wartawan dan media tidak melaporkan berita yang ditokok tambah.

Anonymous said...

konsep kebebasan akhbar termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan oleh PBB pada 10 Disember 1948. kebebasan akhbar yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat, mempunyai batas dan mempunyai sekatan. Hakikat ini kurang diketahui oleh masyarakat umum. Ini kerana pihak2 yang mendakwa diri mereka sebagai juara kebebasan akhbar sengaja menyembunyikan fakta2 tersebut supaya masyarakat umum dapat dikelirukan bahawa kebebasan akhbar adalah kebebasan yang total dan tanpa batas atau sekatan.

Anonymous said...

kerajaan Malaysia sebenarnya telah memberikan kebebasan akhbar di negara ini selaras dengan prinsip dan konsep kebebasan akhbar yang dipelopori oleh Deklarasi Hak Manusia Sejagat, PBB dan juga AS. Nilai-nilai teras yang dipertahankan oleh kerajaan Malaysia juga sama dengan nilai2 teras yang dipertahankan menerusi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, PBB dan AS. Dalam lain2 perkataan, kebebasan akhbar di Malaysia adalah sama piawaiannya dengan kebebasan akhbar yang dilindungi oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, selaras dengan matlamat serta prinsip PBB dan sama tarafnya dengan standard kebebasan di AS. Pada waktu yang sama, amalan kebebasan akhbar di Malaysia juga tidak jauh berbeza dengan amalan di Singapura dan Indonesia. Kebebasan akhbar yang menjadi sebahagian ciri2 kebebasan dalam masyarakat yang demokratik adalah kebebasan yang bersyarat dan kebebasan yang dihadkan oleh nilai2 teras sesebuah masyarakat dan negara. nilai2 teras yang sangat ditikberatkan oleh kerajaan Malaysia adalah ketenteraman awam, keselamatan negara, keharmonian kaum dan perpaduan masyarakat. Amalan kebebasan akhbar yang bersyarat ini juga terdapat di AS, Singapura dan Indonesia.

maya said...

Media perlu ada kebebesan dalam menyiarkan pelbagai maklumat cuma mesti menghadkan cara penyampaian maklumat tersebut.

maya said...

Maklumat yang disampaikan mestilah betul, tepat dan padat.

kb girl said...

Jangan fikir dengan cara mengawal kebebasan media membuat paparan dapat memperbodohkan rakyat lagi, cara ini cuma akan memburukan imej pihak yang berbuat demikian.
Rakyat zaman kini mudah mendapat maklumat, ini tidak dapat dikawal dengan wujudnya internet.

Unknown said...

Rakyat perlu malumat yang tepat, telus dan adil. Media memainkan peranan amat penting dengan menyampaikan berita-berita yang ditulis wartawan.
Wartawan mesti mempunyai kuasa bebas menyampaikan maklumat yang tepat.