Sunday, March 14, 2010

Suami bingung isteri hilang ikut tomboi

UTUSAN ONLINE

JERANTUT - Seorang suami bingung apabila isterinya menghilangkan diri selepas keluar rumah bersama seorang rakannya yang berwatakan 'tomboi' sejak dua minggu lalu di Felda Lepar Utara Tiga, dekat sini.

Suri rumah tersebut, Rahimah Utoh Atu, 24, dipercayai keluar rumah bersama rakan tomboi yang dikenali sebagai Hafza yang datang mengambilnya dengan sebuah kereta pada 28 Februari lalu.

Rahimah meninggalkan rumah ketika suaminya, Mohd. Halimi Zainuddin, 29, keluar bekerja.

Mohd. Halimi mendakwa, mereka yang belum mempunyai cahaya mata setelah berkahwin lapan tahun lalu tidak pernah berselisih faham.

Bagaimanapun, kata beliau, isterinya yang agak rapat dengan Hafza pernah menyuarakan hasrat untuk bertemu rakannya itu di Pulau Pinang.

''Saya mengizinkan dia ke Pulau Pinang kerana selama ini dia belum pernah ke sana dan percaya dia akan pulang setelah bertemu rakannya itu," katanya kepada pemberita di Felda Lepar Utara Tiga dekat sini hari ini.

Menurut Mohd. Halimi, dia bagaimanapun tidak menyangka Rahimah pergi ke Pulau Pinang secara mengejut selepas menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada isterinya itu.

Katanya, SMS tersebut memaklumkan yang isterinya telah ke rumah Hafza di Pulau Pinang ketika dia bekerja pada 28 Februari lalu.

''Dia juga menyatakan suka tinggal di sana (Pulau Pinang) dan akan pulang tetapi sehingga hari ini, dia belum pulang malah saya pun tidak menerima apa-apa berita daripadanya," katanya.

Bagaimanapun, selepas menerima SMS itu, Mohd. Halimi gagal menghubungi isterinya kerana telefon bimbitnya dimatikan.

Mohd. Halimi tidak menolak kemungkinan isterinya mengalami tekanan psikologi apabila perkahwinan mereka masih belum menghasilkan cahaya mata ditambah tekanan di tempat kerja.

Dalam pada itu, dia juga bimbang kerana isterinya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi apatah lagi semua ubatnya tidak dibawa bersama ke Pulau Pinang.

''Saya merayu Rahimah pulang ke pangkuan kami, lebih-lebih lagi ibunya semakin hilang selera makan dan mula sakit selepas dia keluar rumah.

''Jika ada sesuatu perkara yang mengguris perasaan, kita boleh berbincang dan tindakan keluar rumah bukanlah satu jalan penyelesaian," katanya.

Berikutan kehilangan Rahimah itu, Mohd. Halimi dan iparnya, Jaini Utoh Atu, 37, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada 3 Mac lalu.

Sementara itu, ibu wanita tersebut, Sariah Darmawi, 58, merayu anak bongsunya yang manja dengan panggilan 'Adik' pulang segera ke pangkuan keluarga.

''Kami tidak akan marah walau apa pun yang telah Adik lakukan dan sedia memaafkan sekiranya ada kesilapan lalu," katanya.

Sariah memberitahu, Rahimah mengenali Hafza yang juga berperwatakan 'tomboi' lebih setahun lalu melalui SMS dan gadis berkenaan pernah berkunjung serta menginap di rumah mereka.

''Watak tomboi Hafza itu adakalanya menunjukkan tingkah laku kurang sopan sehingga pernah ditegur oleh kakak Rahimah ketika pertama kali datang ke rumah kami," katanya.

Sejak Rahimah mengikut kenalannya, dia sering menangis dan jatuh sakit kerana bimbang keselamatan anaknya itu selain hilang selera makan.

''Kini, telefon bimbitnya dimatikan dan dia gagal dihubungi lagi. Entah di mana Adik berada, saya pun tidak tahu," katanya.

Dalam pada itu, seorang jiran, Mastor Hussin, 52, memberitahu, dia melihat sebuah kereta berwarna putih membawa Rahimah keluar bersama sebuah beg pakaian pada 28 Februari lalu.

''Saya tidak mengesyaki apa-apa dan segan menegur mereka tetapi saya terkejut apabila Rahimah tidak pulang selepas kejadian itu," tambahnya.

No comments: