Wednesday, March 31, 2010

Rakyat perlu berani tamatkan amalan korup Umno/BN

Hashim Abdullah


TEMERLOH: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, rakyat perlu berani bertindak menamatkan amalan korupsi yang dilakukan pemimpin Umno/BN sehingga menyebabkan negara berada dalam kehancuran.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menyeru ahli PAS berusaha memberikan kefahaman kepada rakyat terhadap isu yang berlaku dan mendidik rakyat agar berani membuat perubahan pada pilihan raya umum yang akan datang bagi menamatkan amalan korupsi itu dan menyelamatkan negara daripada terus berada dalam kehancuran.

Ingatan itu terkandung dalam perutusannya yang ditujukan kepada seluruh ahli PAS bagi menghadapi mesyuarat agung di peringkat kawasan seluruh negeri khasnya dan negara amnya.

Katanya, adalah perkara yang amat malang bagi rakyat di negara ini jika pemimpin Umno yang terkenal dengan amalan korup terus dibiarkan menguasai pemerintahan negara.

Justeru, katanya perubahan rakyat adalah suatu tuntutan.

“Mesyuarat agung tahunan pada tahun ini perlu dijadikan medan untuk menilai pencapaian gerak kerja parti untuk memperkukuhkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

“Justeru, kepimpinan dan semua petugas parti wajar memastikan agenda menambah ahli dan pengundi baru, penubuhan cawangan di seberapa banyak lokaliti, persediaan kewangan yang mapan, penebaran mesej parti kepada segenap segmen masyarakat dan pengukuhan tarbiah terus menerus menjadi keutamaan,” katanya.

Tambahnya, adalah terlalu penting bagi ahli PAS menumpukan usaha bagaimana untuk menguasai suasana politik melalui berbagai agenda yang dirancang bertujuan menarik penyertaan rakyat untuk menyertai PAS dan menyokong Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum akan datang.

“PRU 13 dipercayai medan terbaik bagi PAS bersama PR untuk mengajak rakyat melakukan perubahan demi menyelamatkan negara ini daripada kehancuran akibat pemerintahan korup BN. Kefahaman dan keberanian rakyat untuk berubah mesti digembleng mulai sekarang sehingga ke saat hari mengundi akan datang,” katanya

Sementara itu, pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berjalan sekarang terus dikejutkan dengan berberapa isu besar yang melanda negara termasuklah kehilangan RM52 bilion ekuiti saham Bumiputera sebagaimana dibangkitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan kerugian RM546 juta dalam pelaburan Pos Malaysia yang ditimbulkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

No comments: