PUTRAJAYA: Penggunaan lampu pijar akan dihentikan mulai tahun depan dalam usaha kerajaan menjimatkan penggunaan tenaga di samping mengurangkan penghasilan bahan karbon, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Beliau berkata dengan pelaksanaan dasar tersebut, penggunaan tenaga elektrik negara dapat dijimatkan sebanyak RM336 juta setahun dan pengurangan penghasilan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020.
Penggantian lampu tersebut akan dilakukan secara berperingkat selama tempoh tiga tahun yang bermakna semua jenis lampu pijar yang mengeluarkan cahaya kekuningan tersebut tidak akan dijual mulai 2014, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Pengguna adalah digalakkan menggunakan lampu yang lebih cekap tenaga seperti lampu kalimantang kompak, lampu lampu kalimantang silinder dan lampu dioda," katanya.
Peter Chin berkata pelaksanaan dasar tersebut akan dilakukan dalam dua fasa iaitu pertama, menghentikan secara berperingkat pengeluaran, pengimportan dan penjualan lampu pijar dengan spesifikasi kuasa 100 Watt dan ke atas dalam tempoh satu tahun mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2011.
Kedua, menghentikan pengeluaran, pengimportan dan penjualan semua jenis lampu pijar dalam tempoh dua tahun selepas fasa pertama, bermula 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2013," katanya.
Namun beliau berkata, pengecualian penggunaan lampu pijar untuk beberapa kegunaan khusus akan diberikan berdasarkan senarai yang diluluskan oleh kementerian.
Mengulas mengenai bantahan penduduk Kampung Sungai Terentang di Rawang berhubung kerja pembinaan Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kampung tersebut, Peter Chin beliau telah meminta TNB supaya tidak merobohkan rumah penduduk buat sementara waktu, sehingga jalan penyelesaian diperolehi.
"Saya telah bertukar-tukar pandangan dengan Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dan pihak yang berkaitan termasuk TNB. Saya telah meminta TNB agar tidak melakukan kerja meroboh buat sementara waktu," katanya.
No comments:
Post a Comment