Sunday, March 14, 2010

Perkampungan warga asing digempur

UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen akan menggempur beberapa buah 'perkampungan' warga asing di Lembah Klang bagi meningkatkan usaha pembersihan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Lokasi kira-kira 10 buah 'perkampungan' warga asing yang dikenal pasti telah berpuluh-puluh tahun lamanya wujud itu, menimbulkan suasana tidak selesa penduduk dan masalah sosial yang serius.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, 'perkampungan' itu termasuk di Lembah Ampang, Kampung Baru, Kampung Ara, Kampung Medan, Segambut, Jalan Chow Kit dan Jalan Petaling.

Katanya, kebanyakan lokasi warga asing itu tertumpu di Lembah Klang tetapi turut dikesan wujud di Pulau Pinang dan Johor Bahru ekoran peluang pekerjaan berbanding di negeri-negeri lain.

"Kita telah mulakan sejak awal Januari lalu dengan kira-kira 200 PATI berjaya diberkas dalam satu operasi di Lembah Ampang... Namun usaha ini akan diteruskan lagi dalam masa terdekat.

"Terbaru, pihak Imigresen menerima aduan orang ramai yang mahu tindakan segera diambil untuk 'menghalau keluar' warga asing dari Kampung Pandan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pada 6 Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terkejut menemui lambakan warga asing ketika berkunjung ke ibu negara sempena cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, yang disifatkan beliau sebagai luar biasa.

Fenomena tersebut, katanya, semakin ketara apabila kumpulan warga asing itu dilihat keluar beramai-ramai di sekitar ibu negara setiap kali musim cuti umum yang agak panjang.

Abdul Rahman memberitahu, kewujudan dan pertambahan bilangan 'perkampungan' warga asing berpunca daripada sikap masyarakat yang menyewakan rumah kepada warga asing.

"Apabila bilangan warga asing yang menetap di satu-satu kawasan itu semakin bertambah, ia menyukarkan Imigresen untuk menghalau keluar komuniti tersebut. Pihak Imigresen memerlukan banyak anggota penguat kuasa untuk mengepung sekitar kawasan yang dikenal pasti itu," katanya.

Menurut Abdul Rahman, sikap masyarakat juga menyebabkan peluang perniagaan di Lembah Klang kini dikuasai warga asing seperti di Jalan Chow Kit.

Jelasnya, malah ada antara warga asing tersebut seperti Indonesia dan Bangladesh semakin selesa sehingga enggan pulang ke negara asal.

No comments: