DETIK DAILY
Pas menganggap senario pemimpin keluar parti, terutamanya membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah sebagai perkara biasa memandangkan ia sebuah parti baru yang masih dalam proses kematangan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustapa Ali berkata, walaupun ia melibatkan gabungan Pakatan Rakyat (PR), ia tidak langsung mengundang perpecahan dan menjejaskan keutuhan hubungan mereka.Menurutnya, Pas melihat perkembangan yang berlaku dalam PKR itu bukanlah suatu luar biasa kerana ia adalah parti baru.
“Orang keluar parti adalah perkara normal. Semasa awal penubuhan dahulu, DAP dan Pas juga menghadapi masalah yang sama pada sekitar 1960-an kerana kita masih dalam proses kematangan.
“Semua parti mengalami proses itu, ia bukan luar biasa. PKR misalnya, baru berusia 10 tahun. Biasalah, apabila orang keluar, macam-macam yang dia cakap. Dia kata orang ni salah, orang itu salah.
“Yang salah sebenarnya adalah dia kerana dia tidak tahan. Apabila tidak tahan, sebab itu dia keluar parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Perdana sempena Sambutan Jubli Perak Pas Kawasan Marang di Rusila, malam kelmarin.
Menurut Mustafa, sekiranya ada yang keluar parti, dia sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana tidak tahan dan sabar dengan apa yang berlaku.
Menurutnya, tidak perlu menuding jadi dan menyalahkan pemimpin kerana yang bertindak sedemikian hanyalah beberapa individu sahaja dan ia tidak membabitkan pimpinan dan ahli parti yang lain. S/H
No comments:
Post a Comment