Monday, March 15, 2010

Kes saman Nik Sapeia terhadap polis, kerajaan diadakan serentak

BERNAMA


KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membuat keputusan supaya dua kes saman seorang ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia didengar secara serentak di mahkamah itu pada Julai ini.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim yang membuat keputusan itu di dalam kamarnya kemudian menetapkan 4 hingga 6 Julai depan sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi kes tuntutan saman sebanyak RM20 juta Nik Sapeia itu berhubung tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Julai 2006.

Pada prosiding 18 Januari lalu, perbicaraan kes tersebut ditangguh bagi membolehkan Ketua Hakim Negara membuat keputusan pemilihan hakim bagi mendengar kes saman berkenaan ekoran hakim yang mendengar kes tersebut sebelum ini iaitu Datuk Mohd Azman Hussin telah berpindah ke tempat lain. Nik Sapeia, 56, memfailkan dua writ saman di Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Ogos 2006 dan menamakan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Baharin Mohd Noh; bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Plaintif yang juga Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) itu mendakwa ketiga-tiga defendan mempunyai niat menjatuhkan maruahnya ketika mengendalikan kes bersabit tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Tun Dr Mahathir dan tiga yang lain.

Plaintif turut mendakwa ketiga-tiga defendan itu secara salah menahan dirinya dan menafikan hak-hak kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Berikutan tindakan defendan itu plaintif mendakwa mengalami kerugian dalam perniagaannya dan hal itu juga telah menjejaskan reputasi dan kredibilitinya di mata masyarakat terutamanya rakan-rakan perniagaan di dalam dan luar negara.
Plaintif telah menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta kerana malu dan perniagaannya serta reputasinya terjejas dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada prosiding hari ini, Nik Sapeia diwakili peguam Mohd Rafizi Abdullah bagi pihak Zainal Abidin Mustafa dan Shamsul Bahrain Ibrahim manakala ketiga-tiga defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Aida Nurdiana Che Kamarulzaman.

Pada 14 Januari lalu, Nik Sapeia telah dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencederakan Dr Mahathir dan tiga yang lain termasuk ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Hukuman itu bagaimanapun ditangguhkan selepas selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

No comments: