SUARA KEADILAN
SHAH ALAM- PAS Selangor menyokong sepenuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini yang dipimpin Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim, ujar Persuruhjaya Pas Selangor Dr Hasan Ali.
“Pas akan memastikan yang seluruh jenteranya dari ahli-ahli exco, wakil-wakil rakyat, pimpinan parti, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung dan JKKK semuanya memainkan peranan agar kerajaan ini dapat bertahan dan terus diterima oleh rakyat negeri Selangor,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Exco Kerajaan Negeri; Iskandar Abdul Samad, dan Dr Halimah Ali.
Menurut Dr Hassan yang juga Exco Selangor, Pas sebagai sebuah gerakan Islam akan bertanggungjawab untuk memberikan idea, pandangan dan teguran dalam hal-hal khasnya yang melibatkan kebajikan, kepentingan dan masa depan Islam dan orang-orang Melayu selain isu-isu bersama yang melibatkan semua kaum dan agama.
“Pas akan memainkan peranan yang positif dan produktif dalam hal ini demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat dan negeri Selangor,” katanya lagi.
Sementara itu Dr Hasan turut menafikan untuk menuntut agar pengharaman penjualan arak di negeri ini seperti mana yang dipetik didalam akhbar-akhbar berbahasa Cina.
“Pas Selangor tidak pernah menuntut agar kerajaan negeri mengharamkan sama sekali penjualan arak di negeri Selangor,” katanya lagi.
Katanya lagi, apa yuang sedang diusahakan adalah penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang sedia ada dan bukanya memperkenalkan sesuatu yang baru.
Jelasnya, Seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang diwartakan pada 18 Januari 1996 dan berkuatkuasa di Selangor sejak 22 November 1996 umpamanya mengharamkan penjualan arak kepada umat Islam dan memperuntukkan hukaman kepada sesiapa yang mempamir atau menjual minuman seumpana ini kepada umat Islam.
“Peruntukan seumpama inilah dan lain-lain termasuklah dalam hal perjudian dan pelacuran mahu dikuatkuasakan agar kepentingan masyarakat dapat dipelihara dan aspek moral yang merosakan masyarakat khasnya para remaja dapat ditangani.
No comments:
Post a Comment