MSTAR ONLINE
MUAR: Sembilan orang terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki terbunuh manakala 19 yang lain cedera apabila sebuah bas ekspres terbalik di Kilometer 146 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Tangkak di sini awal pagi ini.
Bagaimanapun, kesemua identiti penumpang bas ekspres yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Johor Baharu, itu masih belum dikenal pasti.
Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika bas yang membawa 28 penumpang termasuk pemandu dan pemandu kedua.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Nasir Mohd Ali dipetik Bernama berkata, pemandu dan pemandu kedua adalah di antara mereka yang cedera.
Laporan awal menunjukkan, ketika tiba di tempat kejadian, bas itu dipercayai hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan penumpang yang kebanyakannya sedang tidur cedera parah.
Pasukan Bomba dan Penyelamat serta polis mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan pemandu kenderaan itu yang tersepit di tempat duduk kenderaan berkenaan yang remuk teruk.
Nasir dijangka mengadakan sidang akhbar pukul 3 petang ini untuk memberikan butiran lanjut.
Kesemua mereka yang cedera dan meninggal dunia dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
No comments:
Post a Comment