Wednesday, December 24, 2008

Ketua Polis Negara nafi gaji kecil punca rasuah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kadar gaji yang diterima oleh anggota dan pegawai polis mencukupi, justeru tidak timbul dakwaan bahawa gaji yang diterima menjadi faktor penyebab timbulnya gejala rasuah di kalangan anggota, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau mengulas dakwaan Senator Datuk Gooi Hue Hin semalam bahawa kadar gaji yang kecil dan tidak setaraf dengan perjawatan lain menjadi antara faktor berlakunya gejala rasuah dalam perkhidmatan awam termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bukankah gaji sudah naik, mahu naik apa lagi? Gaji yang kita terima sekarang cukup, tidak timbul isu rasuah kerana dakwaan gaji polis kecil.

"Kasihan pada kerajaan... kita sepatutnya bekerja lebih keras dan tunjuk usaha kita, bukan asyik meminta gaji lebih," katanya selepas Majlis Perlantikan Pangkat Kehormat Kor Suksis Kementerian Pengajian Tinggi di Bukit Aman di sini hari ini.

Justeru beliau meminta pegawai dan anggota polis agar tidak mendesak kerajaan menaikkan gaji mereka berikutan kemelesetan ekonomi global yang dihadapi sekarang.

Musa berkata anggota polis tidak seharusnya mempertikaikan taraf pendapatan malahan mereka sepatutnya menunjukkan prestasi kerja yang lebih tinggi dan efisien, setimpal dengan gaji yang ditawarkan.

Beliau berkata anggota polis perlu memahami situasi semasa dan meneruskan khidmat mereka dengan sebaik mungkin serta mengelak daripada terbabit dalam gejala rasuah.

"Ramai lagi rakyat miskin yang memerlukan bantuan justeru anggota polis khasnya perlu bersyukur dengan jumlah pendapatan yang dinikmati mereka sekarang," katanya.

Katanya gaji baru yang distruktur semula bagi jawatan Konstabel yang sebelum ini hanya kirakira RM600, kini mencecah RM1,500 dicampur dengan imbuhan tetap.

Justeru itu, katanya dengan pendapatan yang setimpal itu tidak sewajarnya anggota polis terbabit dengan gejala rasuah malah PDRM tidak sesekali berkompromi dengan manamana pihak yang terlibat dalam gejala rasuah dan akan bertindak tegas terhadap mereka.

Musa berkata masyarakat perlu dididik agar tidak sesekali memberi suapan kepada manamana pegawai kerajaan termasuk polis bagi memastikan tidak berlakunya gejala rasuah.

Beliau berkata pendapatan yang diperolehi anggota polis kini dapat menampung perbelanjaan seharian.

"Nasihat saya pada anggota agar jangan sesekali meniru gaya hidup orang lain dan sepatutnya mengukur baju di badan sendiri.

"Kalau tahu bagaimana menjaga ekonomi dalam perbelanjaan seharian, ia sudah cukup dan memadai tetapi kalau boros dan berbelanja mengikut nafsu, bergaji RM10,000 pun tidak tentunya cukup," katanya.

Gooi ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dewan Negara semalam mendakwa gejala tersebut yang berlaku dalam PDRM disebabkan oleh faktor gaji yang kecil sehingga menyebabkan gejala itu sukar dikawal dan ditangani.

No comments: