Tuesday, December 23, 2008

Calon PAS ada dalam poket Hadi, tunggu tahun baru

KLPOS.COM


PAS hanya akan mengumumkan calonnya yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu 1 Januari ini.

Ia diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat PAS di Kuala Terengganu dan diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi.

Jawatankuasa tersebut telah mencapai keputusan mengenai calon yang bakal mewakili PAS dan Pakatan Rakyat.

Hadi memberitahu wartawan bahawa pihaknya telah memperolehi calon yang lebih layak berbanding calon Barisan Nasional (BN).

"Kita akan mencapai kemenangan," katanya.

Jelas beliau, calon berkenaan ialah seorang profesional dan berjiwa rakyat.

"Kita sudah ada calon...dalam poket saya, Insya-Allah...tunggu 1 Januari depan (kita umumkan)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Pusat Tarbiyah PAS Kuala Terengganu hari ini.

Ketika ditanya mengapa tidak diumumkan calon pada hari ini beliau berkata: "tiada masalah dalaman dan kami boleh ambil masa (untuk umum calon)".

Sebelum ini PAS berkata, ia akan mengumumkan nama calon selepas 21 Disember.

Pengumuman calon akan diadakan di stadium tertutup pada 1 Januari.

BN mengumumkan calonnya, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh semalam.

Selain Mohamed Sabu yang bertanding di kerusi itu 8 Mac lalu, nama lain disebut bakal mewakili PAS ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustapa Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad.

Di kalangan nama-nama itu, Syed Azman dikatakan mempunyai peluang besar untuk menghadapi calon lain khususnya calon BN.

No comments: