Monday, December 22, 2008

Bekas Pengarah Kraftangan Terengganu didenda

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Bekas Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan negeri, Shamsul Baharin Abd. Mutalib, 59, dijatuhi hukuman denda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa ketika menjawat jawatan tersebut antara 1995 hingga 1997.

Hakim M. Bakri Abd. Majid memerintahkan tertuduh yang berasal dari Rhu Renggeh, Marang dan kini menetap di Kuala Lumpur untuk menjelaskan bayaran denda tersebut sebelum 23 Disember ini.

Tertuduh didakwa atas empat pertuduhan melakukan salah guna kuasa dan rasuah dengan menggunakan jawatannya untuk mengeluarkan pesanan barang berjumlah RM29,700 sebanyak empat kali iaitu masing-masing dua kali pada 30 Oktober 1995 dan dua kali pada 12 Julai 1997.

Pendakwaan di bawah Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 dilakukan oleh Mohd. Ashnan Abd. Latif.

Dalam empat pertuduhan tersebut, Shamsul Baharin didakwa membuat pesanan untuk kepentingan kewangan sendiri membabitkan pembelian kain songket bunga penuh, dulang besar tembaga ayat al-Quran, pasu bunga dan 18 unit bekas serba guna, satu set tepak sirih serta satu unit batil perak.

Tertuduh membuat semua pembelian barangan tersebut yang merupakan milik isterinya, Habibah Zikri untuk kegunaan Perbadanan Kemajuan Kraftangan negeri.

Shamsul Baharin sebelum ini, dibebaskan daripada kes tersebut oleh mahkamah pada 13 Disember 2003, namun Pendakwa Raya membuat rayuan kes tersebut pada 18 Disember 2003 dan rayuan didengar pada 31 Oktober 2007.

Sementara itu, ketika ditemui di perkarangan mahkamah, Shamsul Baharin bersyukur kerana kes tersebut telah selesai dan dia kini boleh meneruskan usahanya membantu perniagaan isterinya di Kuala Lumpur.

No comments: