Rabu, 15 April 2020

Kerajaan teruskan usaha dapatkan semula aset 1MDB

PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus berusaha untuk memperoleh semula aset berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak dalam memastikan keberhasilan daripada usaha-usaha ini pada masa hadapan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, Kementerian Kewangan mengesahkan penerimaan pemulangan AS$300 juta daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) kepada kerajaan Malaysia.

Jumlah ini katanya, mewakili dana yang diperoleh semula daripada penyitaan, pelucutan hak atau pencairan aset berkaitan 1MDB.

“Sejak usaha-usaha memperoleh semula aset 1MDB dimulakan pada Jun 2018, Malaysia telah menerima AS$620 juta daripada AS, yang merangkumi AS$57 juta daripada hasil penyelesaian bersama Red Granite Pictures (dikredit pada Mac 2019); AS$137 juta daripada hasil jualan kepentingan Jho Low di dalam Hotel Park Lane (dikredit April 2019);

“AS$126 juta daripada jualan kehakiman kapal mewah, Equanimity, oleh Mahkamah Admiralti Malaysia (hasil dikredit ke dalam akaun amanah pada Disember 2019) dan AS$300 juta (dikredit April 2020) kepada Malaysia.

“Pemulangan AS$300 juta yang terkini terdiri daripada wang atau aset berkaitan 1MDB yang telah diperoleh semula, dilupus hak oleh, atau diserah balik secara sukarela kepada Jabatan Keadilan (DOJ) AS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan AS serta DOJ di atas usaha mereka dalam memperoleh semula aset-aset berkenaan yang sememangnya adalah hak rakyat Malaysia.

Bagi pihak kerajaan katanya, beliau juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur, khususnya kepada Duta Kamala Shirin Lakhdir, yang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara dalam beberapa minggu terakhir ini.

“Semangat kolaboratif yang wujud dalam proses rundingan kami memastikan segala rintangan dapat diatasi dalam memudahcara pemulangan wang tersebut kepada rakyat Malaysia.

“Kerajaan juga ingin mengiktiraf sokongan yang dipanjangkan daripada rakan sejawat kami di beberapa negara lain kerana telah membantu Malaysia dalam memperoleh semula aset berkaitan 1MDB ini.

“Usaha memperoleh semula aset berkaitan 1MDB masih berterusan dan Kementerian Kewangan akan terus memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada kesemua entiti penyiasat domestik dan antarabangsa dalam memastikan keberhasilan positif yang sama daripada usaha-usaha ini pada masa hadapan,” katanya.

Tiada ulasan: